Rabu, 3 Julai 2019 | 5:13pm

Nestle kekal harga produk pasca cukai gula

KUALA LUMPUR: Nestle (Malaysia) Bhd memberi jaminan tidak akan menaikkan harga produknya pada masa ini susulan pelaksanaan cukai minuman bergula pada 1 Julai lalu yang memberi impak kecil terhadap perniagaannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols, berkata walaupun Nestle mempunyai rangkaian produk siap diminum dan kopi, namun impaknya masih terhad serta mampu diurus.

“Kami tidak akan menaikkan harga pada masa ini dan perlu mencari jalan untuk menyerap impak berkenaan,” katanya kepada media pada majlis rumah terbuka syarikat itu di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan harga produk berkenaan akan meningkat sekiranya berlaku kenaikan harga bahan mentah berkaitan.

“Namun, setakat hari ini dan beberapa bulan akan datang, kami tidak melihat sebarang kenaikan ketara harga produk-produk syarikat ini," katanya.

Menurut Aranols, Nestle juga telah berusaha sejak beberapa tahun bagi memastikan aspek khasiat produk keluarannya dipertingkatkan.

Pada 1 Julai lalu, kerajaan mula melaksanakan cukai minuman bergula baharu iaitu duti eksais sebanyak 40 sen seliter ke atas minuman manis yang mengandungi gula atau pemanis berasaskan gula melebihi lima gram bagi setiap 100 mililiter.

Ia turut dikenakan ke atas semua minuman berkarbonat, berperisa dan bukan alkohol.

Menurut kerajaan, langkah itu bertujuan menangani masalah obesiti di Malaysia.

-BERNAMA

Berita Harian X