Khamis, 4 Julai 2019 | 8:54am

Moody's sahkan penarafan Baa1 Sime Darby Plantation

SINGAPURA: Moody's Investors Service (Moody’s) mengesahkan penarafan penerbit Baa1 Sime Darby Plantation Bhd (SDP) dengan unjuran stabil.

Unjuran itu dikekalkan, dan ini menunjukkan jangkaan Moody's bahawa SDP memberi keutamaan kepada hasil penjualan aset untuk mengurangkan hutang selain mempertahankan operasi yang menguntungkan, walaupun berlaku ketidaktentuan harga minyak sawit.

“Walaupun harga minyak sawit yang rendah mengurangkan pendapatan SDP, kami menjangkakan syarikat itu mengekalkan profil kreditnya menerusi pengurangan hutang secara ketara menggunakan hasil jualan aset bernilai RM1 bilion yang dirancang tahun ini,” demikian menurut Penganalisis Moody’s, Maisam Hasnain, dalam satu kenyataan.

Menurut Moody’s, SDP memperoleh kebanyakan pendapatannya daripada operasi hiliran penanaman sawit dan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM).

Penurunan harga minyak sawit menjejaskan kelebihan SDP, seperti dinilai daripada hutang terlaras berbanding keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan, meningkat kepada kira-kira 4.0 kali setakat Mac 2019 daripada anggaran 2.5 kali pada Jun 2018, melepasi penurunan penarafan pada 3.6 kali, menurut Moody’s.

Bagaimanapun, berdasarkan jangkaan harga MSM bagi tempoh sederhana pada RM2,100 satu tan, peruntukan hasil penjualan tanah dan aset yang dirancang untuk mengurangkan hutang, Moody's menjangkakan kelebihan terlaras SDP susut kepada kira-kira 3.3 kali menjelang Disember 2019.

Moody’s berkata penarafan Baa1 SDP menunjukkan antara lain, kedudukannya sebagai pengeluar minyak sawit terbesar dunia dari segi kawasan penanaman, bahawa syarikat itu akan mengekalkan operasi yang cekap dan menguntungkan di seluruh rantaian nilai minyak sawit dan mempertahan dasar kewangan berhemat termasuk melaksanakan pendekatan konservatif bagi pelaburan seterusnya.

Bagi mengurangkan ketidaktentuan perolehan, Moody’s berkata SDP merancang untuk meningkatkan sumbangan pendapatan perniagaan hilirannya kepada antara 15 peratus dan 20 peratus daripada keuntungan sebelum faedah dan cukai disatukan pada 2023, berbanding 11 peratus pada tahun kewangan berakhir Jun 2018.

Kepelbagaian pendapatan yang meningkat secara kendiri akan membawa kepada positif kredit, namun sebarang pembelian dibiayai hutang yang besar untuk mencapai sasaran, boleh mendorong kepada tekanan penarafan negatif, menurut agensi penarafan antarabangsa ini.

Moody's menjangkakan profil mudah tunai SDP kekal lemah, memandangkan sumber tunainya tidak mencukupi untuk memenuhi penggunaan, termasuk pembayaran balik hutang berjadual, perbelanjaan modal serta dividen bagi tempoh 12 hingga 15 bulan akan datang.

Pembayaran balik hutang berjadual SDP termasuk RM760 juta pinjaman berjangka dengan pembayaran balik secara sekali gus pada akhir tempoh peminjaman pada Jun 2020.

Bagaimanapun, risiko pembiayaan semula SDP sebahagiannya diimbangi oleh akses kukuh kepada pendanaan dari bank domestik dan antarabangsa, khususnya disokong oleh pemegang saham berkaitan kerajaan Malaysia, Permodalan Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. - BERNAMA

Berita Harian X