Khamis, 11 Julai 2019 | 8:41pm

FGV jual kepentingan dalam FGV China Oils RM100 juta

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) menjual keseluruhan pegangan ekuitinya dalam FGV China Oils Ltd (FGVCO) kepada Grand Industrial Holdings Co Ltd (GIH) pada harga RMB165 juta (kira-kira RM100 juta).

Untuk tujuan itu, FGV dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia berkata, pihaknya sudah memeterai Perjanjian Pemindahan Ekuiti dengan GIH bagi penjualan 100 peratus ekuitinya dalam FGVCO.

FGV berkata, penjualan ekuiti itu yang dibuat pada 10 Julai itu.

GIH adalah syarikat yang diperbadankan di China yang tersenarai di Shenzhen Stock Exchange.

Dana pemegang saham FGVCO sehingga 31 Disember lalu adalah sebanyak RMB107 juta.

FGVCO adalah anak syarikat milik penuh FGV di Dongguan, China dan ia terbabit secara prinsipal dalam pemprosesan, penapisan, penyimpanan dan pemasaran minyak berkenaan bagi pasaran China.

“FGVCO sedang mengalami kerugian berulang berikutan perbezaan pasaran yang berpunca daripada persaingan daripada pembekal serantau.

“Penjualan berkenaan tidak memberi kesan secara material ke atas perniagaan semasa FGV di China atau pelan strategiknya bagi pasaran China,” kata kenyataan itu.

FGV berkata, cadangan penghapusan kepentingan dalam FGVCO adalah selaras dengan pelan pembaharuannya untuk menghapuskan aset yang tidak memberangsangkan dan memberi tumpuan untuk memaksimumkan pulangan daripada perniagaan teras dan yang menunjukkan prestasi baik.

“Hasil daripada cadangan penghapusan berkenaan akan digunakan bagi keperluan modal kerja awam untuk syarikat. Penghapusan berkenaan juga dijangka tidak mempunyai sebarang impak signifikan ke atas perolehan sesaham FGV Group.

“Kami menjangkakan penghapusan berkenaan akan siap antara hujung 2019 dan suku pertama 2020” katanya.

Berita Harian X