Isnin, 15 Julai 2019 | 8:01am

Sime Darby Rent A Car raih anugerah

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Sime Darby Motors (SDM), Sime Darby Rent A Car Sdn Bhd (SDRAC), meraih Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Hertz Asia atas pencapaian luar biasanya.

Pengarah Urusan SDRAC, Harun Mohd Joned, berkata syarikat itu diiktiraf bersandarkan prestasi kukuh dicapai selain mengembangkan jenama Hertz dan Thrifty di Malaysia sebagai sebahagian strategi perniagaan pelbagai jenama Hertz Corporation.

Pada 2016, SDRAC memenangi Anugerah Pencapaian Hertz atas usaha menguruskan kedua-dua jenama itu di Malaysia.

“Ia satu penghargaan untuk dipilih Hertz Asia dan diiktiraf atas usaha membawa impak positif dalam industri.

“Anugerah ini amat bermakna memandangkan kami meraikan ulang tahun ke-37 sejak ditubuhkan pada 1982,” katanya dalam kenyataan.

SDRAC meletakkan kedudukannya sebagai pemboleh untuk pertumbuhan di pasaran Malaysia dengan memanfaatkan pengalaman yang luas dalam pengurusan kumpulan kenderaan bagi memenuhi keperluan sektor awam dan swasta yang dilihat bertumpukan perkongsian aset dan kecekapan kos.

Harun berkata, perkongsian dengan Hertz selama ini memastikan SDRAC mengekalkan amalan terbaik antarabangsa dan menyediakan struktur kos yang kompetitif serta telus kepada pelanggannya. - BERNAMA

Berita Harian X