Isnin, 15 Julai 2019 | 4:39pm
Cawangan pertama Tealive di Brunei.

Tealive buka cawangan di Brunei

KUALA LUMPUR: Tealive melebarkan sayap ke Brunei dengan cawangan pertama di Bandar Seri Begawan dibuka baru-baru ini.

Dua lagi cawangan Tealive akan dibuka di negara berkenaan menjelang akhir tahun ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo, berkata sambutan yang diterima dari pelanggan di Brunei adalah sungguh

memberangsangkan.

“Jika sambutan yang diterima pada hari pembukaan adalah memberangsangkan, sambutan yang diterima pada hari berikutnya adalah lebih hangat kerana jualan kami meningkat dengan mendadak, mencapai lebih daripada 1,000 cawan teh pada hari pertama kami mula beroperasi sepenuhnya.

“Kami amat bersyukur dengan sambutan yang diberikan oleh pelanggan di Brunei dan pada masa yang sama, kami juga amat berbangga kerana sebagai sebuah jenama yang berasal dari Malaysia, kami berjaya menunaikan keperluan peminat teh di sini,” katanya dalam satu kenyataan.

Loo berkata, Tealive adalah sebuah jenama pppular buat rakyat Malaysia dan cawangannya di Miri, Sarawak, mencatatkan prestasi terbaik sejak mula beroperasi pada 2017.

“Populariti ini telah sedikit sebanyak membantu meningkatkan kesedaran jenama Tealive dalam kalangan penggemar teh di Brunei. Justeru, pembukaan cawangan di Brunei adalah sesuatu yang kami jangkakan.

“Dengan penerimaan yang sangat memberangsangkan daripada pasaran Brunei, kami bercadang untuk membuka dua lagi cawangan menerusi kerjasama bersama pemegang francais,” katanya.

Selain Brunei, Tealive telah mengembangkan perniagaannya ke China, Vietnam, Australia, dan United Kingdom (UK).

Berita Harian X