KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd memeterai memorandum persefahaman dengan dua syarikat teknologi kewangan (Fintech),
BerryPay (M) Sdn Bhd dan KiplePay Sdn Bhd bagi menawarkan kemudahan transaksi kewangan melalui kiriman wang mudah alih dan platform
dompet elektronik (e-dompet atau e-wallet).
Menerusi pemeteraian memorandum berkenaan, BerryPay akan menyediakan perkhidmatan pengiriman wang mudah alih bagi kemudahan pemegang akaun pekerja asing dengan menghubungkan mereka melalui akaun bank maya dalam sistem perbankan elektronik yang unik kepada penerima lain dan sebaliknya.
Melalui kerjasama dengan Bank Islam, BerryPay berhasrat untuk menyediakan penyelesaian menyeluruh untuk pekerja asing dalam sektor perladangan,
pemindahan dana rakan setaraf serta pembayaran rentas sempadan untuk pelanggannya.
Sementara itu, KiplePay adalah penyedia perkhidmatan e-dompet berlesen Bank Negara Malaysia (BNM).
Ia menyediakan perkhidmatan gerbang pembayaran tanpa tunai untuk perniagaan dan e-dompet untuk pengguna.
Melalui kerjasama ini, KiplePay dan Bank Islam berhasrat untuk memperkasakan
komuniti tanpa tunai terutama dalam sektor pendidikan dan menyokong pertumbuhan pesat dalam segmen pembayaran bagi industri e-dagang.
Sebagai permulaan, KiplePay akan memperkenalkan saluran pembayaran baharu untuk Bank Islam melalui kod QR, yang berupaya
untuk melaksanakan transaksi tambah nilai perkhidmatan mudah alih serta pemasaran dalam aplikasi kepada pengguna.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed; Pengerusi BerryPay, Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif KiplePay, Tan Kay Yen.