Isnin, 22 Julai 2019 | 2:12pm
Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh dilantik Pengerusi Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) yang baharu. - Foto Zunnur Al Shafiq

Ahli Parlimen Ipoh Timor kini Pengerusi SEDA baharu

Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) mengumumkan pelantikan Wong Kah Woh sebagai pengerusinya yang baharu, berkuat kuasa 1 Julai, menggantikan Datuk Ir Ahmad Fauzi Hasan, yang berkhidmat sebagai pemangku pengerusi sejak Julai tahun lalu.

Pelantikan Ahli Parlimen Ipoh Timor itu, akan memberikannya peluang untuknya mengemukakan pandangan serta cadangan untuk penggubalan dasar melalui perdebatan dan ucapannya, kata SEDA dalam kenyataan.

Wong yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) Perak sejak 2018 itu juga adalah peguam yang mempunyai 14 tahun pengalaman dalam bidang perundangan.

"Beliau terbabit dalam bidang korporat, perbankan dan kewangan, hartanah dan urus niaga komersil daripada pengambilalihan syarikat, penubuhan syarikat usaha sama, pinjaman dan pembiayaan projek serta perancangan dan pentadbiran hartanah," menurut SEDA,

Di samping itu, Wong mempunyai kecenderungan tinggi untuk berkhidmat kepada masyarakat sebagai penasihat undang-undang kepada persatuan berasaskan komuniti, memberi nasihat dan khidmat undang-undang probono kepada pelbagai persatuan berasaskan komuniti di Perak.- BERNAMA

Berita Harian X