Rabu, 24 Julai 2019 | 5:47pm
KAMARUL Ariffin (tiga, kiri) ketika melancarkan kad kredit Visa Signature dan aplikasi e-perbankan AffinPay - Foto Supian Ahmad
KAMARUL Ariffin (tiga, kiri) ketika melancarkan kad kredit Visa Signature dan aplikasi e-perbankan AffinPay - Foto Supian Ahmad

Affin Bank kukuh segmen digital

KUALA LUMPUR: Affin Bank Bhd (Affin Bank) komited mengukuhkan segmen digitalnya dengan memperkenalkan pelbagai produk dan menampilkan pembaharuan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Kamarul Ariffin Mohd Jamil berkata, pihaknya memperuntukkan sejumlah perbelanjaan bagi memperkasakan segmen digitalnya itu.

“Affin bakal memperkenalkan pelbagai produk digital baharu bagi menjadikan kumpulan memenuhi kehendak pasaran dan merealisasikan saranan Bank Negara Malaysia (BNM) ke arah pendigitalan.

“Perkara ini juga sejajar dengan transformasi tiga tahun kumpulan dalam meningkatkan penguasaan pasaran dan pendapatan kumpulan,” katanya selepas melancarkan kad kredit Visa Signature dan aplikasi e-perbankan AffinPay di sini, hari ini.

Kamarul Ariffin berkata, kad kredit Visa Signature AFFIN yang baharu dilancarkan menawarkan pulangan tunai sebanyak tiga peratus bagi setiap transaksi runcit tanpa sentuh kecuali transaksi berkaitan kerajaan dan juga pemberian amal dengan kadar maksimum pulangan tunai sebanyak RM80 sebulan, ataupun RM960 setahun.

Beliau berkata, kad kredit Visa Signature Affin terbaharu ini menawarkan faedah yang mudah difahami, menjadikannya unik berbanding dengan produk kad kredit lain, serta berfokuskan dalam memberi ganjaran kepada pelanggan.

Bagi AffinPay pula, katanya adalah aplikasi mudah alih untuk menggalakkan urusniaga tanpa tunai dalam era digital semasa.

“Ia berfungsi berlandaskan Visa PayWave, bertujuan untuk memudahkan

pelanggan untuk melakukan transaksi runcit tanpa perlu membawa kad kredit atau debit.

“AffinPay boleh dimuat turun untuk peranti Android dari Google Play Store, yang mana pelanggan boleh mendaftarkan kad Kredit atau Debit Visa mereka pada aplikasi berkenaan dan mula menggunakannya dengan segera.

“Pelancaran AffinPay menandakan pencapaian penting bagi pihak Affin Bank dan Affin Islamic, sejajar dengan agenda transformasi digital yang kini sedang giat dilaksanakan untuk menyediakan pengalaman perbankan lebih baik untuk pelanggan,” katanya.

Kamarul Ariffin berkata, pengenalan dua produk baharu ini dijangka meningkatkan jumlah pelanggannya dan menyasarkan 30,000 pengguna kad kredit baharu itu.

Beliau berkata, ketika ini kumpulan mempunyai 800,000 pemegang kad kredit debit dan kredit.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X