Khamis, 25 Julai 2019 | 2:42pm
Toyota Motor Corp akan melabur AS$600 juta (RM2.4 bilion) dalam syarikat gergasi e-hailing China, Didi Chuxing. - Foto Reuters
Toyota Motor Corp akan melabur AS$600 juta (RM2.4 bilion) dalam syarikat gergasi e-hailing China, Didi Chuxing. - Foto Reuters

Toyota labur RM2.4 bilion dalam syarikat e-hailing China

BEIJING: Toyota Motor Corp akan melabur AS$600 juta (RM2.4 bilion) dalam syarikat gergasi e-hailing China, Didi Chuxing dan sebuah usaha sama untuk memperluaskan kerjasama dengan firma itu di China.

Langkah itu mempercepatkan lagi trend di China yang menyaksikan pengeluar kereta melancarkan perkhidmatan e-hailing sendiri dan firma e-hailing seperti Didi bekerjasama membangunkan kereta bagi tujuan berkenaan untuk perkhidmatan masing-masing.

Pengeluar kereta Jepun itu berkata, syarikat usaha sama itu termasuk kerjasama Toyota di China dengan Guangzhou Automobile Group Co Ltd (GAC) yang akan menyaksikan syarikat terbabit menggabungkan perkhidmatan serta teknologi masing-masing.

Kerjasama itu memanfaatkan teknologi ketersambungan dan bateri kenderaan elektrik generasi akan datang Toyota, kata Naib Presidennya, Shigeki Tomoyama.

Toyota, yang menyasarkan untuk memperoleh separuh daripada jualan globalnya daripada kenderaan elektrik menjelang 2025, bekerjasama dengan pengeluar bateri China termasuk Contemporary Amperex Technology Co Ltd (CATL) dan BYD Co Ltd untuk membantunya dalam peralihan kepada kereta berkuasa elektrik.

Didi juga menubuhkan usaha sama dengan Volkswagen dan unit kenderaan tenaga baharu Beijing Automotive Industry Holding Co Ltd (BAIC).

Sumber memberitahu Reuters pada bulan lalu bahawa Didi sedang berunding dengan Nissan Motor Co rakan perniagaan di China, Dongfeng Group untuk menubuhkan satu lagi syarikat pengurusan kenderaan.

Toyota dan Didi sebelum ini bekerjasama dalam projek kenderaan lain serta perkhidmatan untuk pemandu Didi.

-Reuters

Berita Harian X