Khamis, 25 Julai 2019 | 5:07pm
Dari kiri: Ketua Pengurusan Jualan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, Linda Lor, Zakri dan Pengurus Cawangan Seremban General Insurance Company (Malaysia) Berhad, Julia Wong, selepas melancarkan pelan Perlindungan Kanser Allianz di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Amirudin Sahib

Kadar penembusan insurans, takaful masih rendah

KUALA LUMPUR: Kadar penembusan produk insurans konvensional dan takaful di Malaysia masih rendah dan jauh daripada sasaran yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Bhd (Allianz Malaysia), Zakri Khir berkata, kadar polisi yang dicatatkan ketika ini adalah di bawah 40 peratus dan jauh berbeza dengan kebanyakan negara serantau.

Bagaimanapun, katanya perniagaan insurans hayat ada menunjukkan pertumbuhan berbanding perniagaan insurans am yang semakin stabil dan tidak berubah.

“Ini kerana, ramai yang risau mengenai kesihatan tetapi jumlah itu juga masih rendah dan jauh dari sasaran. Pengguna di Malaysia ini kurang peka dan mengambil tahu mengenai kepentingan memiliki polisi insurans.

“Malah, program pelan perlindungan Takaful dan insurans yang mampu milik di bawah naungan Bank Negara Malaysia (BNM) juga masih rendah walaupun kadar polisinya murah berbanding polisi perlindungan lain.

“Syarikat insurans seperti Allianz Malaysia sentiasa memberikan kesedaran mengenai kepentingan pemilikan polisi insurans dari masa ke semasa. Usaha sebegini perlu diteruskan dan semua pihak perlu memainkan peranan penting,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan pelan Perlindungan Kanser Allianz di sini, hari ini.

Pelan Perlindungan Kanser Allianz itu memberi manfaat komprehensif kepada pelanggannya disebabkan kos rawatan penyakit itu yang semakin meningkat sekaligus menjadi cabaran besar kepada pesakit kanser.

Zakri berkata, pelan perlindungan baharu Allianz Malaysia itu bakal memudahkan pemegang polisi membuat pilihan ketika mendapatkan rawatan perubatan dan boleh memilih jenis pelan dan perlindungan yang dikehendaki.

“Peningkatan kos perubatan menyebabkan mereka yang didiagnos kanser berdepan kesukaran membuat keputusan sulit dalam memberi peluang untuk melawan penyakit.

“Atas dasar ini, kumpulan tampil memperkenalkan Perlindungan Kanser Allianz yang menawarkan empat pelan perlindungan kepada mereka yang didiagnos kanser.

“Kami menyasarkan sebanyak 500 pemegang polisi pelan ini pada 2019 dan jumlah itu akan meningkat tahun hadapan,” katanya.

Empat pelan Perlindungan Kanser Allianz yang ditawarkan adalah Pelan 125 untuk jumlah yang diinsuranskan sebanyak RM125,000, Pelan 250 (RM250,000), Pelan 375 (RM375,000) dan Pelan 500 (RM500,000).

Turut ditawarkan pelan pilihan jumlah sekali gus amaun yang diinsuranskan dan pakej ini terbahagi kepada perlindungan A dan B atau Manfaat Rawatan Perubatan Luar Negara (dengan perlindungan B sahaja).

Bagi perlindungan B, tempoh indemniti (jaminan) 36 bulan membolehkan pesakit mendapatkan pandangan kedua.

Beliau berkata, pelan itu juga menawarkan pemegang polisi dengan Had Tahunan Manfaat Rawatan Perubatan Luar Negara sehingga AS$2 juta (RM8.23 juta) dan Had Keseluruhan Manfaat Rawatan Perubatan Luar Negara sehingga AS$4 juta (RM16.4 juta).

Berita Harian X