Sabtu, 27 Julai 2019 | 5:28pm
PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah.

Enam firma asing minat labur di kompleks petrokimia PETRONAS

KUALA LUMPUR: Enam pelabur asing yang juga peserta industri kimia terkemuka global berminat melabur di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Pengerang, Johor dan Kompleks Industri Petroleum PETRONAS (PPIC) di Kerteh, Terengganu.

Untuk tujuan itu, pelabur berkenaan ketika ini sedang melaksanakan kajian daya maju pelaburan dalam industri hiliran di kawasan perindustrian terbabit dengan kerjasama Petronas Chemicals Group Bhd (PCG).

Perkembangan positif itu dikongsi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah, yang menganggap hasrat pelaburan itu selaras dengan visi pembangunan industri petrokimia hiliran dengan menggunakannya secara bersama bagi menambah nilai kompleks dan merendahkan kos utiliti.

Sazali berkata, selepas PETRONAS berjaya membangunkan kompleks hiliran minyak dan gas terbesar di Malaysia itu, pelabur bertambah yakin dengan keupayaan kumpulan, justeru semakin banyak pihak mengadakan rundingan kerjasama dengan PCG.

Katanya, semua pelabur asing yang berminat itu sedang dalam pelbagai peringkat penilaian.

Terdapat dalam kalangan mereka yang sedang memperincikan perkara berkaitan kejuruteraan dan ada juga yang masih dalam peringkat membangunkan rekaan asas serta ada juga yang sudah memiliki kilang perintis di tempat lain dan berminat menggunakan PIC atau Kerteh bagi pengeluaran komersial kelak.

“Mereka bukan rakan niaga sedia ada kami miliki ketika ini. Mereka datang daripada pelbagai negara termasuk Jepun, China, Korea Selatan dan Eropah. Apabila muktamad kelak kami akan mengumumkannya.

“Peluang ini akan mengembangkan lagi industri petrokimia dan memanfaatkan molekul yang sedia ada di PIC dan Kerteh untuk ditukar kepada produk baharu.

“Pengeluaran produk kimia khusus ini boleh dilakukan menerusi kerjasama dengan pemilik teknologi mengikut peratusan pelaburan yang mereka mahukan, bahkan PCG juga boleh keluarkan sendiri bahan itu dengan mengambil lesen teknologi secara terus,” katanya dalam sesi temu bual dengan BH di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata, PCG turut bersedia menyuntik modal teroka dalam syarikat pemula baharu yang berpotensi dan terbabit dalam bidang pertumbuhan masa depan kumpulan.

Katanya, menerusi strategi itu, PCG akan memanfaatkan syarikat modal teroka korporat PETRONAS untuk menilai semua kertas kerja milik penyelidik di seluruh dunia dan meninjau syarikat pemula berpotensi diusahakan penyelidik.

“PCG menyenaraikan bidang pertumbuhan yang kami fokus daripada Megatrend dan mana-mana syarikat pemula yang terbabit dalam bidang itu akan disenarai pendek sebelum dimuktamadkan teknikalnya.

“Syarikat pemula ini biasanya ditubuhkan saintis yang bijak pandai namun tiada modal besar untuk membangunkan perniagaan, maka kami akan suntik modal pemula sama ada melabur 100 peratus atau bekerjasama dengan syarikat lain supaya mereka boleh berkembang sebagai syarikat besar di masa akan datang,” katanya.

Berita Harian X