Sabtu, 27 Julai 2019 | 8:47pm
Pengerusi SME Corp, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee. - NSTP/Aizuddin Saad

3 siri jelajah SDSI rekod potensi jualan RM21.2 juta

KUANTAN: Tiga siri jelajah Satu Daerah Satu Industri (SDSI) anjuran bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) sejak Januari lalu, mencatatkan potensi jualan berjumlah RM21.2 juta.

Pengerusi SME Corp, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, tiga lokasi jelajah berkenaan ialah di Perak pada 19 dan 20 Januari lalu, diikuti SDSI Zon Timur di Terengganu pada 15 dan 16 Februari dan lokasi ketiga bagi Zon Selatan berlangsung di Melaka pada 26 hingga 28 April lalu.

Beliau berkata, seramai 18,422 pengunjung dicatatkan dalam tiga siri jelajah SDSI itu dengan nilai jualan tunai sebanyak RM375,300.

“Ini menunjukkan potensi besar yang boleh diteroka usahawan kita, terutama yang terbabit dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mencari peluang perniagaan mereka melalui program seperti ini.

“Kemuncak kepada (siri) jelajah ini adalah penganjuran Minggu Usahawan Nasional dan SDSI Peringkat Nasional pada 28 Ogos ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor, yang akan mengumpulkan semua usahawan PKS dari seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Keusahawanan Pantai Timur di Dataran Teluk Cempedak, di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Keusahawanan negeri, Datuk Nazri Ngah dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Noor Azmi Mat Said.

Sementara itu, Nazri dalam sidang media selepas merasmikan karnival berkenaan berkata, hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu diteruskan bagi memastikan semua usahawan PKS mendapat bantuan sewajarnya.

“Perbezaan politik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri tidak boleh dijadikan alasan hingga mengakibatkan mereka (usahawan PKS) menjadi mangsa.

“Saya percaya Kerajaan Persekutuan tidak ada masalah untuk terus membantu usahawan PKS dari Pahang yang mempunyai potensi untuk maju dan meneroka peluang pasaran lebih luas di luar negara.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong apa sahaja program pembangunan PKS, baik daripada segi penyediaan prasarana dan bantuan melalui agensi berkaitan... kita mahu membina kerjasama yang baik dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Berita Harian X