Selasa, 30 Julai 2019 | 10:53am
Guan Eng bersama Salim (empat dari kiri) ketika perasmian FWD Takaful di Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Labur RM1.06b pacu industri takaful

MALAYSIA terus menarik minat pelabur asing apabila syarikat gergasi yang berpangkalan di Hong Kong, Pacific Century Group menerusi sayap perniagaan insuransnya, FWD Group melabur RM1.06 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang sebagai usaha mengukuhkan kehadirannya dalam industri takaful domestik.

Bagi operasi di Malaysia, FWD Group mewujudkan sayap baharu dinamakan FWD Takaful Bhd dengan firma berkenaan memiliki 49 peratus saham manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memiliki 20 peratus kepentingan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pelaburan itu memfokuskan lima segmen utama iaitu pembangunan perkhidmatan teknologi maklumat dan pusat data di Malaysia dikenali sebagai Pusat Data Kuala Lumpur FWD.

Selain itu, katanya, FWD Group, akan membangunkan hab inovasi dan takaful untuk pembangunan lestari jangka panjang dalam industri berkenaan.

“Sementara itu, bagi memenuhi permintaan produk takaful untuk segmen B40 dan golongan kurang berkemampuan, FWD membina dan menawarkan produk khusus bagi golongan ini.

“Pelaburan ini membabitkan program kesedaran mengenai takaful dan pembangunan modal insan yang mahir dalam industri takaful,” katanya ketika berucap merasmikan FWD Takaful di Kuala Lumpur, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pacific Century Group, Richard Li Tzar Kai dan Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful, Salim Majid Zain.

Guan Eng berkata, Malaysia menjadi pasaran pertama bagi FWD dalam mengembangkan perniagaannya dalam industri takaful, terutama Takaful Keluarga.

“Malaysia mempunyai pasaran yang berkembang pesat dalam industri Takaful Keluarga yang mana perniagaan ini berkembang 13.1 peratus kepada RM4.91 bilion daripada RM4.35 bilion pada 2017,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, menurut perangkaan Bank Negara Malaysia, hampir separuh rakyat Malaysia tidak dilindungi takaful dengan kadar pemilikan insurans nyawa sebanyak 55 peratus.

“Kita harap kesedaran mengenai perlindungan takaful ini akan merealisasikan agenda negara untuk mencapai 75 peratus kadar penembusan pemilikan insurans menjelang 2020,” katanya.

Mengulas mengenai kehadiran FWD Takaful, Salim berkata, syarikat berhasrat menawarkan akses yang mudah kepada produk Takaful Keluarga kepada semua lapisan masyarakat.

“Kami mahu mengubah budaya konvensional dan mencipta pengalaman pelanggan yang lebih segar menerusi teknologi digital,” katanya.

Beliau berkata, firma itu menyasarkan untuk meraih 15 peratus pegangan pasaran dalam industri takaful dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Ia menjadikan FWD Takaful akan berada di kedudukan lima teratas berbanding di kedudukan ke-12 ketika ini,” katanya.

FWD Group, ditubuhkan pada 2013 dan berkembang di sembilan negara antaranya Hong Kong, Macau, Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura dan Vietnam.

Ketika ini, ia memiliki lima juta pelanggan dengan 4,600 tenaga kerja dan 17,900 ejen berdaftar di samping merekodkan AS$30 bilion aset.

Berita Harian X