Rabu, 31 Julai 2019 | 2:29pm
FWD, yang dikawal oleh Richard Li, usahawan yang juga anak kepada hartawan terkaya Hong Kong, Li Ka-shing. - Foto Reuters

FWD rancang lebar sayap ke China

HONG KONG: Syarikat insurans yang pesat berkembang, FWD bercadang melancarkan operasinya di China menjelang tawaran awam permulaan (IPO) dan rancangan untuk mengukuhkan perniagaan bukan hayatnya di Asia.

Ia susulan potensi perubahan dalam sektor insurans di rantau berkenaan.

FWD, yang dikawal oleh Richard Li, usahawan yang juga anak kepada hartawan terkaya Hong Kong, Li Ka-shing, mencuri perhatian bulan ini dengan pembelian unit insurans hayat Siam Commercial Bank di Thailand pada harga AS$3 bilion.

Ia hanya beberapa hari selepas bersetuju untuk membeli operasi syarikat insurans Amerika Syarikat (AS), MetLife Inc dalam urus niaga kira-kira AS$300 juta, demikian menurut individu yang biasa dengan perkara itu.

Selepas membelanjakan lebih AS$6 bilion untuk beberapa urus niaga sejak enam tahun lalu, FWD membina kehadirannya di Hong Kong, Macau, Singapura, Jepun, Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam.

FWD telah memohon lesen untuk mengendalikan usaha sama milikan majoriti di China, pasaran insurans kedua terbesar di dunia.

Menurut laporan Swiss Re Institute, pasaran China diunjurkan merangkumi 20 peratus premium global menjelang 2029, meningkat daripada 11 peratus pada 2018.

“Adalah bagus untuk berada di China, namun dengan memiliki pertumbuhan di ASEAN, keuntungan stabil di Jepun, asas yang kukuh di Hong Kong adalah begitu menarik,” kata Ketua Eksekutifnya, Huynh Thanh Phong, sambil membincangkan potensi sebuah IPO.

Huynh enggan menjelaskan tempoh masa IPO, dengan berkata ia keputusan yang akan diambil oleh lembaga pengarah dan pemegang saham.

Namun, dua individu yang mempunyai pengetahuan mengenai rancangan itu berkata, FWD menyasarkannya pada separuh kedua tahun depan, bergantung kepada kemajuan yang ditunjukkan di China. - Reuters

Berita Harian X