Rabu, 31 Julai 2019 | 2:50pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd, Datuk Haris Fadzilah Hassan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd, Datuk Haris Fadzilah Hassan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

FGV, Sime Darby, Biotek Dinamik kerjasama hasilkan BioCNG

KUALA LUMPUR: FGV Palm Industries Sdn Bhd (FGVPI), Sime Darby Energy Solutions Sdn Bhd (SDES) dan Biotek Dinamik Sdn Bhd (BDSB) menjalin kerjasama strategik untuk mengeluarkan gas asli mampat bio (BioCNG) daripada biogas yang dijana daripada kolam efluen kilang sawit (POME).

BioCNG adalah pengganti berpotensi bagi diesel untuk industri perkilangan dan kenderaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd, Datuk Haris Fadzilah Hassan, berkata ketika ini, syarikat perladangan itu menjana kira-kira 170 juta meter padu biogas setahun daripada 30 kilangnya, yang bersamaan sejuta hingga 1.5 juta liter diesel bagi setiap kilang minyak sawit setahun.

Beliau berkata, kerjasama strategik antara FGVPI, anak syarikat tidak langsung FGV bersama anak syarikat Sime Darby Bhd, SDES dan BDSB itu membabitkan potensi pembangunan 35 loji untuk pengeluaran BioCNG.

"Sebaik projek ini dilaksanakan sepenuhnya, FGV akan mempunyai kawasan BioCNG paling banyak di dunia membabitkan syarikat perladangan," katanya pada majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi pengeluaran BioCNG di sini, hari ini.

Di bawah MoU itu, BDSB, sebuah syarikat tenaga boleh diperbaharui menjadi pemaju projek,pemilik dan pengendali BioCNG.

Haris Fadzilah berkata, usaha sama BioCNG adalah sejajar dengan strategi FGV dengan menukar sisa kepada kekayaan bagi menjana nilai daripada produk sampingan hiliran.

Beliau berkata, projek itu dijangka menjana nilai ketara kepada kumpulan dan pada masa sama membantu kerajaan mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharui 20 peratus menjelang 2025.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BDSB, Eddy Yap Wai Hong, berkata syarikat mahu menjadi perintis pengkomersialan BioCNG di Malaysia dan berharap memasarkan bahan api boleh diperbaharui hijau ke dalam pasaran domestik tahun depan.

Beliau berkata, BioCNG berpotensi menjadi sumber bahan api bio selanjutnya bagi negara selepas kejayaan biodiesel berasaskan minyak sawit.

Berita Harian X