Khamis, 1 Ogos 2019 | 12:26pm
PENGARAH Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan

Penjualan aset Khazanah di Singapura jana untung tinggi

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) bakal memperoleh keuntungan yang tinggi melalui penjualan aset hartanahnya di Singapura bernilai S$1.575 bilion (RM4.74 bilion).

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata penjualan itu menghasilkan keuntungan kepada sayap pelaburan kerajaan itu, namun nilai sebenar keuntungan tidak dapat didedahkan.

“Kami tidak dapat mendedahkan berapa banyak keuntungan yang dibuat kerana tertakluk kepada kerahsiaan dengan pemegang saham yang lain,” katanya ketika dihubungi BH.

Shahril Ridza berkata, penjualan aset hartanahnya itu adalah berdasarkan kepada harga tawaran yang paling menarik diterima daripada pembida yang mengambil bahagian.

“Apabila urusan penjualan itu diselesaikan kelak, hasil yang diperoleh akan digunakan untuk membayar semula hutang pembangunan dan lebihannya akan dibayar kepada pemegang saham sebagai dividen,” katanya.

Khazanah baru-baru ini melalui M+S Pte Ltd (M+S) bersetuju untuk menjual kesemua kepentingannya dalam anak syarikat milik penuhnya, Ophir-Rochor Commercial Pte Ltd (ORC) kepada Allianz Real Estate dan Gaw Capital Partner (Gaw).

M+S adalah pemaju hartanah yang dimiliki secara bersama oleh Khazanah dan Temasek Holdings Private Ltd menerusi pegangan 60:40.

ORC pula adalah pemaju dan pemilik Duo Tower dan Duo Galleria, manakala Capitaland Ltd dan UEM Land Holdings, sebuah anak syarikat UEM Sunrise Bhd adalah pengurus projeknya.

Aktiviti utama M+S adalah pembangunan hartanah di Singapura, khususnya di dua lokasi.

Mengulas lanjut, Shahril Ridza berkata, pembangunan Duo terdiri daripada komponen pembangunan bercampur iaitu kondominium, pejabat dan hotel.

“Seperti mana pemaju yang lain, pendapatan dan keuntungan diraih melalui penjualan hartanah yang dibangunkan. Bagi penjualan kondominium, ia sudah hampir 100 peratus terjual.

“Pembangunan pejabat juga merekodkan hampir 100 peratus penyewaan dan oleh itu, pemaju mula memasarkan bangunan berkenaan kepada pembeli seperti syarikat insurans dan dana pelaburan,” katanya.

Pembangunan bercampur Duo turut membabitkan Duo Residences dan Hotel Andaz Singapore.

Sejajar dengan usaha M+S untuk terus memiliki hotel Andaz Singapore, peluang kerjasama dengan Allianz Real Estate dan Gaw Capital Partners bakal memangkin Duo sebagai tempat yang menarik kepada peniaga dan pelancong global.

M+S akan terus memiliki dan menguruskan aset Andaz Singapore dan Marina One ke paras optimum untuk kepentingan pemegang saham.

Pembangunan Duo berada dalam koridor Ophir-Rochor di Singapura bersebelahan Kampong Glam, yang mendapat sentuhan rekaan arkitek Ole Scheeren.

Shahril Ridza berkata, Khazanah akan terus membuat pelaburan baharu dengan menggunakan hasil daripada urus niaga pelaburan.

Katanya, pelaburan baharu itu akan memfokuskan kepada beberapa sektor terutama teknologi, aeroangkasa, penerbangan dan kesalinghubungan di Malaysia.

Setakat ini katanya, hampir RM1.5 bilion pelaburan baharu sudah dibuat bagi 2019 dan ia akan terus meningkat pada masa hadapan.

“Khazanah juga sudah mengurangkan beban hutang sebanyak RM6 bilion pada masa sama,” katanya.

Berita Harian X