Jumaat, 2 Ogos 2019 | 5:00pm
Ketua Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed bersama satu daripada tiga anugerah yang dimenangi pada Anugerah Kecemerlangan e-Pembayaran Malaysia (MEPA) 2019.
Ketua Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed bersama satu daripada tiga anugerah yang dimenangi pada Anugerah Kecemerlangan e-Pembayaran Malaysia (MEPA) 2019.

Bank Islam raih tiga pengiktirafan MEPA

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd meraih tiga pengiktirafan sempena penganjuran Anugerah Kecemerlangan e-Pembayaran Malaysia (MEPA) 2019 atas sumbangannya terhadap pertumbuhan pembayaran elektronik (e-pembayaran) di Malaysia.

Ia menerima pengiktirafan untuk kategori Pengalaman Pelanggan Terbaik (Debit Langsung), Bank Debit Langsung Terbaik dan Bank FPX Terbaik.

Ketua Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata pengiktirafan Pengalaman Pelanggan Terbaik (Debit Langsung) itu diperoleh buat kali kedua selepas kemenangan pertama pada 2017.

Katanya, ia menjadi bukti usaha berterusan Bank Islam untuk berada di barisan hadapan sektor perbankan digital di Malaysia.

“Bank Islam berazam meneruskan perjalanan Tranformasi Digital dengan mengambil kira perubahan dan membawa teknologi ke dalam penyelesaian berasaskan Syariah, yang menjadi sebahagian daripada aspek penting dalam mencapai pertumbuhan yang mampan.

“Memberikan perkhidmatan yang seiring dengan aliran digital semasa akan mempertingkatkan pengalaman perbankan pelanggan untuk melaksanakan transaksi perbankan mereka dengan selamat dan lancar.

“Ia juga adalah satu keutamaan strategik bagi kami melaksanakan usaha mewujudkan nilai,” katanya ketika menerima ketiga-tiga penghormatan berkenaan.

Anugerah berkenaan disampaikan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid, baru-baru ini.

Berita Harian X