Isnin, 5 Ogos 2019 | 9:00am
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Axiata tolak rundingan gabung jika terma ditolak

KUALA LUMPUR: Pimpinan tertinggi Axiata Group Bhd menegaskan bahawa kumpulan itu akan keluar daripada rundingan penggabungan dengan Telenor ASA dari Norway jika mereka tidak dapat bersetuju sepenuhnya dengan terma untuk melindungi kakitangan dan kepentingan negara.

“Ia bukan hanya mengenai urusan komersial sahaja. Sekiranya saya tidak mendapat sesuatu untuk melindungi kepentingan negara dan kakitangan, saya akan keluar daripada perjanjian ini, walaupun jika penggabungan itu memberi manfaat kepada kumpulan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

“Kita boleh hidup tanpa penggabungan. Kami sedang berunding dengan Telenor bagi pengukuhan dan bukan mengenai kelemahan.

“Kami mempunyai tunai berjumlah RM6 bilion setakat ini. Keadaan kewangan kumpulan juga masih kuat. Namun, dengan penggabungan, kita akan menjadi lebih baik,” katanya dalam temu bual di sini, baru-baru ini.

Axiata dan Telenor pada Mei lalu mengumumkan bahawa mereka sedang berbincang mengenai potensi penggabungan aset telekomunikasi dan infrastruktur mereka di Asia.

Entiti gabungan itu dijangka akan menjadi pengendali terbesar di serantau Asia dengan 300 juta pelanggan mudah alih di sembilan negara.

Jamaludin berkata, kedua-dua pihak pengurusan telah menyatakan dengan jelas bahawa ia akan menjadi ‘penggabungan sama rata’, walaupun nisbah pemilikan yang dirancang bagi syarikat yang digabungkan (MergedCo) adalah 56.5 peratus milik Telenor dan 43.5 peratus oleh Axiata.

MalaysiaCo, hasil daripada penggabungan Celcom Axiata dan Telenor Digi, akan menjadi kira-kira 67 peratus dimiliki oleh MergedCo.

Bersama-sama dengan beberapa institusi kerajaan utama yang akan memiliki entiti ini secara langsung, institusi Malaysia dijangka menjadi pemegang saham tunggal terbesar di MalaysiaCo, berdasarkan gabungan pemegangan langsung dan tidak langsung sekitar 46 peratus berbanding pemilikan tidak langsung Telenor sekitar 38 peratus.

Axiata sudah memasukkan beberapa syarat di bawah perjanjian itu. Ini termasuk pengerusi MergedCo perlu daripada Axiata.

Cadangan oleh MalaysiaCo, Pengerusi akan dicalonkan oleh Axiata dan mesti terdiri daripada rakyat Malaysia.

Ia juga sudah dipersetujui bahawa majoriti ahli lembaga pengarah terdiri daripada rakyat Malaysia, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif.

Mengenai perlindungan kakitangan, Jamaludin berkata, sebelum pelan penggabungan dengan Telenor, beliau tidak dapat menjamin bahawa tidak akan ada kehilangan pekerjaan di seluruh kumpulan kerana industri telekomunikasi menghadapi masa yang lebih mencabar sekarang daripada 10 tahun yang lalu.

Berita Harian X