Isnin, 5 Ogos 2019 | 3:22pm
Bangunan Bursa Malaysia. - Arkib NSTP

Bursa mahu tambah golongan muda sertai pasaran saham

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd komited untuk terus melaksanakan program bagi meningkatkan kesedaran dan penyertaan golongan muda dalam pasaran saham tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift, berkata berdasarkan perangkaan Jabatan Perangkaan, setakat pertengahan 2018, dijangkakan 28 peratus penduduk Malaysia berumur antara 15 dan 30 tahun.

Katanya, perangkaan itu menunjukkan jumlah golongan muda adalah tinggi, justeru adalah penting untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan orang muda di negara ini.

"Ini bagi memastikan mereka berpengetahuan dalam membuat keputusan pelaburan dan kewangan yang betul ketika tahun paling produktif dalam hidup," katanya pada majlis penutup Cabaran Saham Antara Universiti 2019 (IVSC) di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan Kumpulan Affin Hwang Capital, Datuk Maimoonah Mohamed Hussain; Ketua Pegawai Eksekutif Public Investment Bank, Lee Yo-Hunn dan Naib Presiden Eksekutif Pasaran Ekuiti AmInvestment Bank, Gan Kim Khoon.

Muhamad Umar berkata, Bursa Malaysia juga akan terus bekerjasama dengan peserta industri dalam meningkatkan kesedaran melabur dalam pasaran saham dan menggalakkan celik kewangan dalam kalangan generasi muda, yang mana akan menjadi generasi pelabur masa depan.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama pendidikan pelabur dengan peserta pasaran yang menjadi pemacu kritikal membangunkan pasaran modal rancak dan mapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Bursa Malaysia, Selvarany Rasiah, berkata golongan milennial kini mencatatkan peningkatan pantas dari segi pembukaan akaun sistem depositori pusat (CDS).

Beliau berkata, tahun ini, lebih 40 peratus akaun CDS dibuka membabitkan golongan berkenaan.

Seramai 3,000 pelajar dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Multimedia (MMU) dan Taylor's University menyertai IVSC.

Pemenang utama pertandingan itu ialah Pasukan Goreng dari Taylor's University yang membawa pulang RM30,000, diikuti Pasukan Ikan Bakar dari Taylor's University memperoleh RM20,000 dan Pasukan No Ideas dari MMU yang memenangi RM10,000.

Berita Harian X