Rabu, 7 Ogos 2019 | 1:05pm
 (Dari kiri) Pengerusi PayNet, Datuk Ahmad Hizzad; Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Datuk Sri Tay Ah Lek; Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohd Zahid (BNM) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser, pada Majlis Anugerah Kecemerlangan e-Pembayaran Malaysia.
(Dari kiri) Pengerusi PayNet, Datuk Ahmad Hizzad; Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Datuk Sri Tay Ah Lek; Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohd Zahid (BNM) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser, pada Majlis Anugerah Kecemerlangan e-Pembayaran Malaysia.

Public Bank raih empat anugerah e-pembayaran

KUALA LUMPUR: Public Bank Bhd muncul pemenang terbesar pada Anugerah Kecemerlangan e-Pembayaran (MEEA) 2019 apabila meraih empat anugerah atas sumbangan cemerlang kepada perkembangan ekosistem e-pembayaran di Malaysia.

Anugerah yang dimenangi Public Bank dalam satu majlis di ibu negara pada 31 Julai lalu itu adalah ‘Top JomPAY Acquirer’, ‘Best MyDebit Bank’, ‘Top MyDebit Acquirer’ dan ‘Outstanding Contribution to MyDebit’.

Anugerah MEEA dianjurkan setiap tahun oleh Payments Network System (M) Sdn Bhd (PayNet) sebagai mengiktiraf pencapaian cemerlang bank-bank, peniagaan dan agensi kerajaan yang telah memberi sumbangan besar bagi kecemerlangan, inovasi dan perkembangan pembayaran elektronik di Malaysia.

Ia disampaikan oleh Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohd Zahid kepada Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek.

Public Bank berkata, ini adalah tahun ketiga berturut-turut bank itu diiktiraf sebagai ‘Best MyDebit Bank’ di Malaysia, selain mengekalkan anugerah ‘Outstanding Contribution for MyDebit’ dan anugerah ‘MyDebit Top Acquirer’.

“Anugerah yang dimenangi oleh Public Bank ini adalah hasil langkah-langkah langsung yang dibuat oleh bank untuk menggabungkan saluran e-Pembayaran yang inovatif dengan infrastruktur yang stabil bagi memberi sokongan terbaik kepada e-Pembayaran di bawah persekitaran yang boleh diharapkan, selamat dan terjamin.

“Public Bank akan terus memberi sokongan padu sebagai menyokong usaha migrasi kepada pembayaran elektronik di negara ini dengan memperkenalkan lebih banyak inisiatif e-Pembayaran dan terus mempertingkatkan platform perbankan digitalnya untuk kegunaan pelanggan,” katanya.

Ia berkata, untuk terus mempercepatkan pertumbuhan pembayaran tanpa tunai di negara ini, pada 17 Julai 2019, bank itu melancarkan Piawaian QR Kebangsaan Malaysia yang dikenali sebagai DuitNow QR dengan PayNet.

“Public Bank adalah bank pertama yang menerima pakai piawaian berkenaan,” katanya.

Melalui DuitNow QR, pengguna boleh membuat pembayaran melalui mana-mana bank yang mengambil bahagian atau aplikasi mudah alih e-Dompet (e-Wallet).

Peniaga hanya perlu mempamerkan satu Kod QR, iaitu DuitNow QR, untuk menerima pembayaran, berbanding dengan mempamerkan kod QR proprietari yang pelbagai seperti yang ada pada masa ini.

Public Bank akan memperkenalkan DuitNow QR kepada orang ramai selepas tempoh percubaan selama dua bulan.

Pengenalan DuitNow QR itu akan memperluaskan ciri-ciri DuitNow yang sedia ada bagi membolehkan pengguna membuat pembayaran kepada peniaga menggunakan kod QR DuitNow yang berkaitan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X