Jumaat, 9 Ogos 2019 | 5:17pm
Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran (lima dari kiri) menyaksikan Ketua Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), Elanjelian Venugopal (kiri), Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Sutekno Ahmad Belon (enam dari kiri) dan Ketua Pegwwai Operasi Daikin Malaysia (DAMA), Ooi Cheng Suan (kanan) menandatangani dokumen persefahaman di majlis menandatangani memorandum persefahaman antara HRDF, DAMA dan JTM di Daikin Malaysia Sdn Bhd. - Foto Eizairi Shamsudin

Daikin sasar latih 3,000 juruteknik penyaman udara

KUALA LUMPUR: Daikin Malaysia Sdn Bhd (Daikin Malaysia) menyasar untuk melatih 3,000 juruteknik melalui pelaksanaan program pembangunan sumber manusia, 'Air-Conditioner Certified Technician' (ACCT) menjelang 2020.

Program yang dijalinkan melalui kerjasama Jabatan Tenaga Manusia (JTM) itu bertujuan bagi meningkatkan kemahiran dan kecekapan juruteknik dalam industri penyejukbekuan dan penyaman udara.

Ketua Pegawai Operasi Daikin Malaysia, Ooi Cheng Suan, berkata pelaburan terhadap sumber manusia adalah penting bagi syarikat di samping pelaburan terhadap kemudahan dan fasiliti tempat latihan.

Menurutnya, Daikin Malaysia mengamalkan falsafah Pengurusan Individu Berpusat (PCM) iaitu satu prinsip kepimpinan yang mempercayai kumulatif pembangunan setiap individu dalam sesebuah syarikat adalah asas kepada pembangunan bagi syarikat terbabit.

"Kami percaya usaha untuk memperkenalkan program ini adalah wajar bagi menaiktaraf kualiti servis dalam industri terutama untuk pengguna jenama Daikin," katanya pada majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan JTM di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Anuar; Ketua Pengarah JTM, Sutekno Ahmad Belon dan Ketua Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB), Elanjelian Venugopal.

Selain MoA, Daikin Malaysia turut menandatangani memorandum persefahaman dengan JTM dan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB) bagi menyediakan yuran penyertaan program yang berjumlah hanya RM190 berbanding RM900 jumlah yuran asal berikutan pemberian subsidi yang diberikan kepada bakal pelatih.

Program yang menyediakan kursus pemasangan penyaman udara secara teori dan praktikal itu akan diadakan selama tiga hari membabitkan dua hari teori dan sehari (ujian) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) serta Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) seluruh negara.

Cheng Suan berkata, latihan bagi program itu akan dimulakan di Lembah Klang membabitkan dua lokasi iaitu ILP Kuala Lumpur dan ADTEC Shah Alam dalam tempoh terdekat sebelum diperluaskan kepada lokasi lain di seluruh negara.

"Selepas dua lokasi ini, kami akan menawarkan program ACCT ini di lapan lokasi membabitkan cawangan ILP dan ADTEC seluruh negara menjelang Mac 2020," katanya.

Berita Harian X