Isnin, 12 Ogos 2019 | 5:31pm
TDM Berhad menandatangani perjanjian bina, kendali, milik dan pindah (BOOT) dengan Concord Biotech Sdn Bhd (CBSB) bagi pembangunan loji Biogas untuk kemudahan penjanaan kuasa. NSTP/E-mel
TDM Berhad menandatangani perjanjian bina, kendali, milik dan pindah (BOOT) dengan Concord Biotech Sdn Bhd (CBSB) bagi pembangunan loji Biogas untuk kemudahan penjanaan kuasa. NSTP/E-mel

TDM perintis Biogas

KUALA LUMPUR: TDM Bhd komited menjadi perintis Biogas apabila menandatangani perjanjian bina, kendali, milik dan pindah (BOOT) dengan Concord Biotech Sdn Bhd (CBSB) bagi pembangunan loji Biogas untuk kemudahan penjanaan kuasa di kedua-dua kilang kelapa sawitnya.

Selain itu, kumpulan Ladang-Ladang Terengganu (KLLT), anak syarikat milikpenuh TDM, juga telah menandatangani perjanjian sewa pajak dengan CBSB untuk memajak tapak bagi tujuan pembangunan dan operasi kilang penjanaan kuasa Biogas.

Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak berhasrat untuk bekerjasama dalam membangun, mengendali dan mengekalkan penjanaan kuasa berasaskan tenaga yang boleh diperbaharui.

Projek itu terdiri daripada dua loji Biogas yang bernilai RM36 juta menggunakan sistem lagun tertutup yang terletak di Kilang Minyak Sawit Kemaman dan Sungai Tong.

Penghasilan Biogas dari pengeluaran sisa kilang kelapa sawit (POME) akandigunakan untuk menjana kuasa elektrik.

Dalam perjanjian BOOT, pemaju bertanggungjawab dalam membiayai kos pembangunan sepenuhnya.

Pemaju atau pengendali akan mengendalikan serta menyelenggara loji semasa tempoh penyerahan dan memindahkan aset terbabit kepada TDMP selepas tamat tempoh penyerahan selama 21 tahun.

Kilang itu dijangka menghasilkan lebih daripada 4 megawatt tenaga elektrik setiap jam yang bakal dijual kepada TNB.

Pengerusi TDM, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin, berkata projek itu adalah sebahagian daripada Rancangan Penciptaan Nilai (VCP) pihaknya bagi menghasilkan nilaian yang lebih tinggi berbanding aset sedia ada iaitu membabitkan operasi di kedua-dua kilang.

“Hal ini juga bagi menyokong Dasar Kelestarian kami dalam penukaran ‘waste to wealth’ dan juga melindungi persekitaran alam semulajadi.

“Kami akan meningkatkan operasi dan latihan secara berterusan melalui inovasi, teknologi dan cara lain untuk mengurangkan jejak karbon TDM.

“TDM akan melancarkan inisiatif VCP yang lain dan Rancangan Pembangunan Perniagaan (BDP) dalam mengekalkan kemajuan pada masa akan datang,” katanya.

Berita Harian X