Selasa, 13 Ogos 2019 | 9:30am
PENGERUSI Kumpulan Axiata Berhad, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, di Menara Axiata, KL Sentral. NSTP/Zulfadhli Zulkifli.

RIC perluas kelebihan Axiata

KUALA LUMPUR: Pusat Inovasi Serantau (RIC) bertaraf dunia yang akan diwujudkan di bawah cadangan penggabungan Axiata Group Bhd dan Telenor ASA bakal menghasilkan produk dan perkhidmatan berteknologi tinggi buatan Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, berkata cadangan pembangunan RIC akan menjadikan revolusi perindustrian 4.0 (IR 4.0) tersedia dan mampu digandingkan dengan peserta industri berpotensi bagi menyokong sebarang agenda.

“Sebagai contoh, ia boleh jadi penyelesaian kereta autonomi. Walaupun kita tidak dapat bangunkan keseluruhan sistem, kita mungkin boleh menghasilkan beberapa komponen sistem dan ia dihasilkan di negara kita. Kita memiliki peserta tempatan seperti PROTON (PROTON Holdings Bhd) dan PERODUA (Perusahaan Otombil Kedua Sdn Bhd).

“Contoh lain ialah aplikasi internet untuk segala-galanya (IoT) untuk rumah pintar. Saya fikir kita akan menjadi peserta utama dunia.

“Kita memiliki sumber menjadi peserta global sekarang. Kita bercakap mengenai pusat inovasi terbesar di Asia. Kita mahu lakukan sekurang-kurangnya dalam kalangan industri. Axiata tidak akan hanya menjadi peserta telekomunikasi asli semata-mata,” katanya dalam satu temubual di sini, baru-baru ini.

Axiata dan Telenor menyasarkan melabur RM100 juta setahun untuk RIC, yang mana ia akan berpusat di Malaysia bagi membangunkan keupayaan 5G, kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian IoT di mana ia membolehkan akses kepada teknologi pada harga lebih menarik.

Selain itu, Jamaludin berkata, RIC di bawah MergeCo juga menyasarkan untuk mewujudkan peluang pekerjaan terutama kepada rakyat Malaysia.

RIC yang dibangunkan mulai 2020 dijangka menawarkan peluang pekerjaan kepada 175 saintis, jurutera dan pembangun perniagaan.

Pusat berkenaan juga dijangka mewujudkan bakat berkualiti tinggi dalam teknologi generasi akan datang dan kemahiran digital menerusi peluang tidak langsung seperti graduan Sarjana dan doktor falsafah (PhD) oleh penyelidik dan bakal digital lain hasil kerjasama MergeCo, universiti dan agensi kerajaan.

“Kami perlu menggajikan lebih ramai saintis, jurutera dan pekerja berkemahiran tinggi. Jelas sekali, kami akan membawa beberapa bakat dari seluruh dunia dan sebahagiannya daripada Telenor. Namun, lebih 50 peratus adalah rakyat Malaysia.

“Dalam kata lain, kami akan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi baharu. Beberapa bakat dari Celcom dan Axiata akan dipindahkan.

“Ini juga akan memberi kesan pengganda kepada setiap pekerja berkemahiran tinggi, tidak seperti pekerja berkemahiran rendah,” katanya.

Berita Harian X