Isnin, 19 Ogos 2019 | 4:08pm

Banyak pihak tunjuk minat beli edotco

KUALA LUMPUR: Beberapa pihak menunjukkan minat terhadap perniagaan menara tanpa wayar Axiata Group Bhd, meskipun gergasi telekomunikasi Asia Tenggara itu sedang meneruskan rancangannya untuk bergabung dengan operasi Asia Telenor ASA, kata individu yang rapat dengan perkara itu.

Axiata beberapa bulan kebelakangan ini sudah menerima pertanyaan mengenai potensi pengambilalihan edotco Group Sdn Bhd, menurut individu itu, yang enggan dikenali kerana perbicangan itu adalah sulit.

Urus niaga itu dinilai sehingga AS$3 bilion (RM12.5 bilion), kata salah seorang individu berkenaan.

Pertanyaan tidak rasmi itu masih belum menghasilkan sebarang perbicangan terperinci lagi dan Axiata terus melaksanakan proses ketekunan wajar terhadap cadangan urus niaga dengan Telenor yang berpusat di Norway, kata sumber.

Bagaimanapun, minat terbabit menunjukkan bahawa Axiata masih ada pilihan lain jika ia gagal mengatasi halangan urus niaga Telenor, termasuklah kebimbangan kerajaan berhubung pembuangan pekerja dan kawalan asing ke atas aset telekomunikasi utama.

“Sejak penempatan persendirian awalnya, edotco terus menerima minat daripada pelabur berpotensi,” kata jurucakapnya dalam e-mel kepada Bloomberg News.

“Mengikut pengetahuan kami, tiada apa-apa rancangan pada masa ini bagi penjualan persendirian atau suntikan ekuiti.”

Axiata pada Mei lalu berkata ia sedang berunding dengan Telenor untuk menggabungkan operasi telekomunikasi Asia bagi mewujudkan sebuah syarikat dengan 300 juta pelanggan di sembilan negara.

Potensi sinergi daripada urus niaga itu dianggarkan berjumlah kira-kira AS$5 bilion (RM20.8 bilion), menurut Telenor, yang akan memiliki 56.5 peratus syarikat baharu itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta lebih banyak butiran mengenai transaksi itu berikutan kebimbangan terhadap pekerjanya, lapor Bloomberg News.

Urus niaga itu bakal menjadi yang terbesar sejak beliau mengambil alih jawatan pada Mei tahun lalu.

Seorang wakil Axiata enggan mengulas mengenai minat yang ditunjukkan terhadap edotco.

Jurucakap Telenor pula merujuk Bloomberg kepada pengumuman Mei lalu, apabila diminta memberikan perkembangan terkini rundingannya bersama Axiata dan jika penjualan aset edotco kepada pihak ketiga adalah sesuai dengan penggabungan itu.

Beliau enggan mengulas spekulasi atau khabar angin.

edotco, yang berpangkalan di Kuala Lumpur ditubuhkan pada 2012 dan memiliki lebih daripada 19.300 menara di Malaysia, Sri Lanka, Bangladesh, Kemboja, Pakistan dan Myanmar.

Axiata memiliki 63 peratus daripada pegangan dalam edotco.

Antara pemegang saham lain termasuklah Khazanah Nasional Bhd, Innovation Network Corporation of Japan dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP.

-Bloomberg

Berita Harian X