Selasa, 20 Ogos 2019 | 3:18pm

Ayam Aqina masuk pasaran Asia Barat tahun depan

PETALING JAYA: Pengeluar daging ayam kampung organik utama di Malaysia, Aqina Group of Companies (Aqina) akan mula mengeksport daging ayam keluarannya ke Asia Barat seawal separuh pertama tahun depan.

Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Wesley Tan, berkata pasaran eksport baharu itu bakal disokong kilang pemprosesan daging ayam bernilai kira-kira RM30 juta, yang dijadualkan beroperasi akhir tahun ini.

“Kilang baharu di Pekan Nenas, Johor itu berkeupayaan memproses 8,000 daging ayam sejam atau 64,000 daging ayam sehari dalam satu syif, atau dua kali ganda jumlah itu sekiranya membabitkan dua syif.

“Eksport akan membabitkan tiga produk ayam utama kami iaitu Red Label yang terdiri daripada ayam kampung dikenali sebagai ayam merah dalam pasaran ayam; Black Label iaitu ayam hitam premium segar; dan White Label iaitu ayam putih premium segar juga dikenali sebagai Ayam Nanas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Ayam Nanas di Giant Hypermarket Kota Damansara di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Ketua Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Mengulas lanjut, Ng berkata, bersandarkan anggaran konservatif, pihaknya mensasar menguasai 30 peratus pasaran daging ayam tempatan dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding sekitar dua peratus ketika ini.

Selain pasaran tempatan, daging ayam Aqina turut dijual di Singapura.

Pada majlis sama Quaza turut mengumumkan kerjasama antara Aqina Agriculture and Biotech Industries Sdn Bhd dan UMP Technology Sdn Bhd (UMPT), anak syarikat Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi memperkenalkan Ayam Nanas ke pasaran Malaysia.

Ayam Nanas, produk pertama seumpamanya di Malaysia, ditambah enzim probiotik yang diekstrak daripada varieti nanas MD melalui diet harian ayam diternak.

Enzim probiotik MD2 digunakan dalam amalan pertanian penternakan di ladang Aqina bagi menggantikan penggunaan antibiotik sedia ada untuk menghasilkan ayam yang bebas sisa antibiotik dan bebas hormon pertumbuhan.

Aqina juga bekerjasama dengan GIANT Hypermarket, Jaya Grocer, Village Grocer, AEON, AEON MaxValu, HERO MARKET, Jason Food Hall, Cold Storage, Ben’s Independent Grocer, Maslee Express, De Luxe Circle Fresh Mart serta NSK Trade City untuk mengedarkan Ayam Nanas ke seluruh negara.

PENGARAH Eksekutif Kumpulan AQINA, Wesley Tan (kiri) memberi penerangan kepada Ketua Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani, Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan (2 dari kiri) dan hadir sama Pengurus Besar Universiti Malaysia Pahang Teknologi, Dr. Nur Aainaa Syafini Mohd Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif UMP Holdings & Group, Ir. Syed Mohammad Hamzah Al-Junid Syed Abdul Rahman mengenai Produk Ayam Nanas AQINA di Giant Hypermarket, Kota Damansara. - Foto Amirudin Sahib
PENGARAH Eksekutif Kumpulan AQINA, Wesley Tan (kiri) memberi penerangan kepada Ketua Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani, Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan (2 dari kiri) dan hadir sama Pengurus Besar Universiti Malaysia Pahang Teknologi, Dr. Nur Aainaa Syafini Mohd Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif UMP Holdings & Group, Ir. Syed Mohammad Hamzah Al-Junid Syed Abdul Rahman mengenai Produk Ayam Nanas AQINA di Giant Hypermarket, Kota Damansara. - Foto Amirudin Sahib
Berita Harian X