Selasa, 20 Ogos 2019 | 7:37pm
KETUA Pegawai Eksekutif TM One, Ir Azizi A Hadi. - Foto Owee Ah Chun

TM One cari rakan bangun penyelesaian perbankan digital

KUALA LUMPUR: TM One, cabang penyelesaian perniagaan sektor awam, Telekom Malaysia Bhd (TM), sedang berunding dengan penyedia perkhidmatan e-wallet dan digital untuk membangunkan penyelesaian dalam perbankan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif TM One, Ir Azizi A Hadi, berkata terdapat banyak penyedia perkhidmatan perbankan digital dan e-wallet terkemuka di negara ini untuk dipilih bagi melaksanakan usaha sama.

"Kami menyedari bahawa dalam usaha memperoleh penyelesaian menyeluruh, kami mungkin tidak dapat menguasai segala-galanya secara bersendirian.

"Usaha sama sangat penting. Oleh itu kami mencari rakan kongsi yang bersedia untuk bekerjasama dengan kami. Ada beberapa pembekal gerbang pembayaran, ada yang sangat berjaya, dan ada penyedia perkhidmatan perbankan digital yang kami boleh bekerjasama," katanya kepada Bernama dalam temu bual.

Azizi berkata, selain perbankan digital, terdapat banyak potensi dalam membangunkan penyelesaian dalam bidang perbankan tanpa wayar, pusat data, penyelesaian pemulihan bencana dan perkhidmatan keselamatan terurus dengan dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 18 Julai.

Dasar itu, yang akan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2020, menetapkan jangkaan bagi bank untuk mewujudkan rangka kerja pengurusan risiko teknologi menyeluruh.

"Di samping itu, kami juga sedang mengendalikan e-KYC (Kenali pelanggan anda) atau e-signature yang kami bangunkan sendiri dan boleh dilengkapkan menjadi sebahagian daripada penyelesaian akhir untuk industri perbankan digital.

"Kami juga mewujudkan platform kewangan bagi sektor perbankan, perkhidmatan kewangan dan insurans (BFSI) dan bekerjasama rapat dengan BNM dan penggiat industri dalam sektor perbankan," katanya sambil menambah bahawa teknologi lejar digital terbuka dan teknologi kewangan (fintech) adalah bidang lain yang sedang diaplikasikan oleh syarikat itu.

Azizi berkata BFSI, minyak dan gas, hartanah, pertahanan dan keselamatan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan awam adalah antara tujuh vertikal dalam segmen perkhidmatan pintarnya.

"Kami bermula dengan 12 vertikal pada 2017 dan susulan itu, kami telah mengeluarkan rangka digital untuk kesemua vertikal.

"Pada akhir 2018, kami mencadangkan untuk mengurangkan hingga tujuh vertikal dengan potensi pertumbuhan dan kecenderungan untuk mengguna digitalisasi, dengan sebahagian besar daripada mereka sudah berubah secara digital," katanya.

Pada masa ini, sumbangan segmen perkhidmatan pintar masih agak kecil, katanya.

Azrin berkata terdapat pusat beli-belah di Kuala Lumpur juga telah memasang sistem perkhidmatan pintar TM One untuk mengumpul data dan maklumat, antara lain bagi menentukan sewa berdasarkan trafik pengunjung.

-BERNAMA

Berita Harian X