Rabu, 21 Ogos 2019 | 8:31am
Dagangan saham Utusan Melayu (Malaysia) Bhd akan digantung berkuat kuasa 28 Ogos. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Saham Utusan akan dinyah senarai 30 Ogos

KUALA LUMPUR: Dagangan saham Utusan Melayu (Malaysia) Bhd akan digantung berkuat kuasa 28 Ogos dan sahamnya akan dinyah senarai sehari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan.

Dalam kenyataan di Bursa Malaysia, syarikat surat khabar berbahasa Melayu yang paling lama beroperasi itu berkata, ia tidak dapat memenuhi keperluan penyenaraian di Pasaran Utama kerana gagal mengemukakan pelan penstrukturan semula kepada Suruhanjaya Sekuriti atau Bursa Securities untuk kelulusan.

“Saham syarikat akan dinyah senarai melainkan rayuannya terhadap penyah senaraian itu dihantar kepada Bursa Securities pada atau sebelum 27 Ogos,” katanya.

Susulan penyah senaraian itu, penerbit Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad itu akan terus wujud, namun sebagai entiti yang tidak disenaraikan.

Syarikat itu diletakkan pada status Nota Amalan 17 (PN17) selepas gagal membuat pembayaran prinsipal dan keuntungan kepada Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Maybank Islamic Bhd berjumlah RM1.18 juta.

Berita Harian X