Rabu, 21 Ogos 2019 | 2:11pm

UrbanFox perluas operasi ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian logistik dan e-dagang, UrbanFox akan mengembangkan operasinya ke Malaysia susulan pelantikannya sebagai Rakan Inisiatif e-Dagang Merentas Sempadan bagi Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), inisiatif oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Dalam kenyataan bersama, UrbanFox dan MDEC berkata kedua-dua syarikat akan bekerjasama rapat untuk meningkatkan daya saing eksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan membolehkan mereka memperluaskan perniagaan secara dalam talian dan merentasi rantau ini.

“Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan ke Malaysia, UrbanFox akan menggunakan reka bentuk gudang logistik pelbagai saluran digital dan memenuhi pasaran domestik dan serantau.

“Jenama yang telah mendaftar untuk menyertai gudang pelbagai saluran UrbanFox yang berkeluasan 133,000 kaki persegi termasuk Clarks, Mothercare selain hos jenama penjagaan bayi yang lain.

“UrbanFox juga akan membuka pejabat korporat di Selangor untuk menyokong jenama Malaysia,” katanya.

UrbanFox akan memudahkan jenama Malaysia untuk menjual produk mereka menerusi pelbagai e-pasaran perniagaan kepada pengguna (B2C) termasuk Lazada, Shopee dan Qoo10 menerusi platform proprietari tunggal yang membolehkan jenama itu mempercepat keupayaan e-dagangnya.

Ketua Pegawai Operasi MDEC, Datuk Ng Wan Peng berkata beliau mengalu-alukan penyertaan Urbanfox dalam inisiatif DFTZ itu dan kerjasama berkenaan akan memperluaskan ekosistem ekonomi digital di Malaysia.

Pengarah Urusan UrbanFox, Joe Choa, berkata hasrat dan komitmen Malaysia untuk mempercepat pertumbuhan e-dagang telah mentransformasi negara sebagai destinasi menarik bagi pemboleh e-dagang seperti UrbanFox.

“Kami berhasrat menjadi sebahagian daripada perjalanan ekonomi digital di Malaysia,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X