Rabu, 21 Ogos 2019 | 3:43pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan, Davis Chong Chun Shiong (kanan) pada majlis pemeteraian perjanjian penaja jaminan dengan M&A Securities Sdn Bhd.
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan, Davis Chong Chun Shiong (kanan) pada majlis pemeteraian perjanjian penaja jaminan dengan M&A Securities Sdn Bhd.

Solarvest meterai perjanjian rancangan IPO

KUALA LUMPUR: Syarikat pengkhususan sistem solar fotovoltaik (PV), Solarvest Holdings Bhd memeterai perjanjian penaja jaminan dengan M&A Securities Sdn Bhd berkaitan tawaran awam awal (IPO) di Pasaran ACE, Bursa Malaysia Securities Bhd.

Dalam kenyataannya, Solarvest berkata IPO itu merangkumi terbitan awam sebanyak 98.82 juta saham baharu dalam syarikat mewakili 25.3 peratus daripada modal saham keseluruhan.

“Mengikut perjanjian itu, M&A Securities akan menaja jamin 39.06 juta saham baharu yang ditawarkan kepada awam serta pengarah yang layak, pekerja serta individu yang menyumbang kepada kejayaan syarikat.

“20.70 juta saham ditawarkan menerusi tawaran persendirian kepada pelabur terpilih manakala baki 39.06 juta saham akan dikhususkan kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti dan diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” menurutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Davis Chong Chun Shiong, berkata langkah penyenaraian itu akan menggalakkan pelan pertumbuhan Solarvest, dengan hasilnya bertujuan mempercepatkan aktiviti peluasan dalam pasaran solar PV domestik dan antarabangsa.

“Di peringkat tempatan, kami menyasar untuk memperkukuhkan kedudukan pasaran dalam program Solar PV Skala Besar (LSSPV) terutama dalam pusingan ketiga langkah bidaan LSSPV.

“Bagi pasaran komersial dan industri, syarikat kini berkembang ke wilayah selatan Semenanjung Malaysia, meraih peluang perniagaan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Di luar Malaysia, kami merancang untuk menembusi pasaran baharu, iaitu Vietnam dan Taiwan,” katanya.

Selain itu, Solarvest berkata syarikat itu juga mahu memperuntukkan sebahagian hasil berkenaan untuk mempertingkatkan keupayaan teknikal termasuk membeli jentera dan peralatan projek baharu serta menambah baik perisian dan perkakas teknologi maklumat.

“Baki hasil IPO juga akan digunakan sebagai modal kerja untuk operasi harian syarikat dan projek masa depan, pembayaran balik pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian,” menurut Solarvest.

Solarvest dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE, Bursa Malaysia Securities pada Oktober ini, dengan M&A Securities berperanan sebagai penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen tawaran bagi IPO itu. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X