Rabu, 21 Ogos 2019 | 4:06pm
CAWANGAN pertama Tealive di Myanmar dibuka di Junction Square, Yangon.

Tealive tembusi pasaran Myanmar

KUALA LUMPUR: Tealive mengorak langkah ke utara Asia Tenggara dengan pembukaan kedai pertamanya di Myanmar, pasaran ketiganya di ASEAN selepas Vietnam dan Brunei.

Terletak di pusat membeli-belah terkemuka, Junction Square, Yangon, kedai Tealive di negara itu dibuka secara rasminya Sabtu lalu.

Ia menerima sambutan hangat peminat teh di Myanmar yang beratur panjang untuk menikmati minuman terkenal Tealive, iaitu Teh Susu Pearl dengan Gula Perang dan juga minuman dari siri “Bang Bang” yang mengandungi ‘pearl’ bersalut gula perang yang suam dan lembut.

Pembukaan cawangan di Myanmar ini adalah susulan daripada sambutan hangat pembukaan kedainya di pusat membeli-belah Aman Hills, Bandar Sri Begawan, Brunei bulan lalu.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo, berkata rakan kongsi tempatannya, Myanmar Food for Thought Co Ltd

(MFFT), memutuskan untuk membuka lima kedai Tealive menjelang akhir tahun ini.

“Kami mempunyai keyakinan sepenuhnya terhadap pasukan MFFT kerana mereka adalah peserta berpengalaman di dalam industri makanan dan minuman Myanmar dengan rekod prestasi yang memberangsangkan selama lebih daripada enam tahun.

“Buat masa ini, mereka mengendalikan 20 buah cawangan yang merangkumi jenama serantau dan juga tempatan di Myanmar.

“Dengan sambutan yang menggalakkan di Vietnam, Brunei dan kini di Myanmar, kami juga menjalinkan kerjasama dengan satu lagi rakan kongsi untuk memasuki pasaran Filipina, sebuah pasaran yang sedang giat berkembang di rantau ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan.

Tealive ialah jenama teh gaya hidup terkemuka di Malaysia dengan pembukaan kedai setiap minggu, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 317 kedai di seluruh Malaysia.

Ia juga mempunyai kedai di China, Vietnam, Brunei, Australia dan United

Kingdom (UK).

Berita Harian X