Jumaat, 23 Ogos 2019 | 5:33pm
JUAN Aranols. - Foto Syakirah Azhar
JUAN Aranols. - Foto Syakirah Azhar

Nestle lancar Starbucks At Home

KUALA LUMPUR: Nestle Malaysia Bhd yakin prestasi perniagaan kumpulan kekal positif untuk menjana pertumbuhan yang menguntungkan dan mapan pada suku kedua 2019.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols, berkata kumpulan juga menjalankan kerjasama strategik bersama rakan niaganya bagi memastikan penguasaan pasaran Nestle Malaysia kekal tinggi.

“Dengan rangkaian produk kami serta kerjasama strategik dengan rakan niaga, kumpulan optimis akan meningkatkan jualan kami.

“Antara kerjasama yang bakal mengukuhkan penguasaan pasaran kami di Malaysia adalah memperkenalkan rangkaian kopi premium dengan Starbucks.

“Kerjasama Nestle dengan Starbucks bermula pada Ogos 2018 yang lalu di peringkat global, dan bagi pasaran Malaysia dan Singapura, ia baru diperkenalkan, yang pertama di Asia Tenggara.

“Selepas ini kami akan terus memperkenalkan produk Starbucks di negara serantau,” katanya selepas merasmikan Starbucks At Home Malaysia dan Singapura di sini hari ini.

Aranols berkata, kumpulan akan menjadi penjual rangkaian kopi Starbucks At Home merangkumi 11 produk termasuk biji kopi serta kopi panggang dan kisar selain kapsul Starbucks yang dihasilkan menggunakan teknologi kopi dan sistem hak milik Nescafe Dolce Gusto.

Beliau berkata, pihaknya yakin produk usahasama baru itu akan mendapat sambutan dalam kalangan pengguna berdasarkan kepada penguasaan pasaran Nescafe.

“Ia akan menjadi produk kopi baharu dan kami yakin ia akan mendapat sambutan kerana Nescafe adalah produk pilihan nombor satu pengguna di Malaysia.

“Kerjasama ini akan menggandingkan tiga jenama kopi terkemuka iaitu Nescafe, Nespresso dan Starbucks. Ia akan membuka peluang dalam pasaran kopi.

“Selain itu, kerjasama ini juga akan mempercepatkan inovasi dan pembangunan segmen kopi di Malaysia serta menawarkan pengguna rangkaian kopi yang bermutu tinggi,” katanya.

Produk kopi Starbucks At Home juga boleh didapati di platform e-dagang Lazada serta laman web Nescafe Dolce Gusto bermula 26 Ogos ini dan akan memasuki platform e-dagang dan perniagaan runcit dalam masa terdekat.

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2019, Nestle Malaysia mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM313 juta, meningkat 6.1 peratus berbanding RM295 juta yang diraih pada suku sama tahun lalu.

Keuntungan bersihnya dalam suku dikaji juga meningkat kepada RM235 juta, berbanding RM231 juta pada suku sama 2018, sekali gus mencerminkan prestasi kukuh kumpulan.

Pendapatan yang diraihnya pada suku berkenaan meningkat kepada RM1.45 bilion, selepas mengambil kira pelupusan perniagaan tenusu dingin pada 1 Januari 2019.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X