Isnin, 26 Ogos 2019 | 5:27pm
Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli. - NSTP/Nik Hariff Hassan

RHB Bank catat untung bersih RM1.25 bilion

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM1.25 bilion pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2019, meningkat 7.3 peratus berbanding tempoh sama sebelumnya.

Peningkatan kukuh itu disokong pendapatan berasaskan bukan dana yang tinggi dan jangkaan kerugian kredit terhadap pinjaman yang lebih rendah serta pengurusan kos yang cekap.

Pendapatan kumpulan perbankan itu dalam tempoh sama meningkat 3.9 peratus kepada RM3.519 bilion.

Keputusan kewangan yang kukuh itu juga membolehkan RHB Bank mengumumkan dividen interim 12.5 sen sesaham, mewakili nisbah pembayaran 40.2 peratus, yang mana pembayaran dividen paling tinggi.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata keputusan kewangan yang kukuh itu menunjukkan kemampuan kumpulan perbankan itu mengekalkan momentum pertumbuhan positif meskipun dalam persekitaran yang mencabar.

"Dengan ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan, kami kekal berhati-hati, dengan memberi penekanan dalam pertumbuhan aset, berhemah dalam perniagaan dan memantapkan asas kami," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan RHB Bank di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan RHB Banking Group, Syed Ahmad Taufik Albar.

Khairussaleh berkata,  strategi lima tahunnya, FIT22 mencatatkan kemajuan yang baik.

Beliau berkata, pihaknya akan terus membangunkan ekosistem holistik untuk syarikat kecil dan sederhana (PKS).

"Segmen PKS mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dengan RM3.7 bilion pinjaman diluluskan pada separuh pertama 2019, yang memanfaatkan kira-kira 2,000 PKS," katanya.

Setakat 30 Jun 2019, jumlah aset kumpulan perbankan itu meningkat sebanyak 4.3 peratus kepada RM253.5 bilion.

Pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan meningkat 6.9 peratus kepada RM172.3 bilion sementara pinjaman domestik berkembang 6.6 peratus, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam gadai janji dan PKS.

Deposit pengguna meningkat 10.9 peratus kepada RM185.0 bilion, sementara pembiayaan Islam berkembang 22.2 peratus dan menyumbang 36.0 peratus jumlah pinjaman dan pembiayaan domestik.

Mengulas mengenai cadangan penjualan kepentingan RHB Insurance Bhd kepada Tokio Marine Asia Pte Ltd, Khairussaleh berkata, pihaknya sedang berunding dengan syarikat insurans Jepun itu mengenai cadangan itu.

Beliau berkata, sekiranya semua urusan berjalan lancar, urus niaga itu dijangka selesai suku pertama tahun hadapan.

Berita Harian X