Selasa, 27 Ogos 2019 | 1:46pm

Nestle Malaysia jana perolehan lebih tinggi

PETALING JAYA: Nestle Malaysia Bhd mengekalkan prestasi hasil yang mantap pada suku kedua berakhir 30 Jun 2019, di sebalik cabaran kos dan mata wang.

Keputusan kewangan itu dipacu oleh permintaan pengguna yang kukuh,

disokong oleh inovasi hebat dan pelaburan pemasaran yang turut berjaya

meluaskan bahagian pasaran.

Permintaan domestik kukuh sebanyak 4.5 peratus membolehkan Nestle Malaysia menjana perolehan lebih tinggi pada suku kedua 2019, meningkat dua peratus kepada RM1.34 bilion berbanding suku sama tahun lalu.

Pelupusan perniagaan tenusu dingin pada 1 Januari lalu mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.4 peratus.

Pertumbuhan domestik telah mengimbangi prestasi eksport, yang masih sedikit rendah di bawah jangkaan, mencerminkan persekitaran yang tidak stabil serta tidak menentu dalam pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih sedikit rendah pada suku dikaji sebanyak RM156.9 juta berbanding suku sama tahun lalu, disebabkan oleh peningkatan pelaburan pemasaran yang terancang dan kesan bersih kurang positif daripada kadar tukaran serta harga komoditi, yang berjaya ditampung oleh strategi lindung nilai.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols, berkata

peningkatan momentum pertumbuhan pada suku kedua mencerminkan kekuatan

perniagaan domestik dan permintaan kukuh yang berterusan bagi jenama-jenama Nestle.

Katanya, ia diterajui oleh pelaksanaan jualan tertumpu, inovasi menarik, sokongan pemasaran yang dipertingkatkan dan usaha memanfaatkan peluang semasa musim perayaan.

“Kumpulan mengekalkan tumpuan terhadap inovasi dengan produk baharu yang dilancarkan pada suku kedua, dengan memperkenalkan Nescafé Gold, Maggi Pedas Giler Seafood, Maggi Pedas Giler 2X Ayam Bakar dan La Cremeria Summer Berries Yogurt,” katanya dalam satu kenyataan.

Menyentuh kepada pengurangan kecil margin pada suku tahun ini yang dilaporkan berbanding suku kedua 2018, Aranols berkata keuntungan suku tahunan mengalami kesan fasa perbelanjaan pemasaran dan juga perbelanjaan gudang secara sekali saja sebagai persediaan bagi peluasan kilang di Chembong.

“Keadaan ini ditambah pula dengan peningkatan kos komoditi, yang

berjaya ditampung oleh strategi lindung nilai yang kami laksanakan,” katanya.

Kumpulan mencatatkan keuntungan operasi dan keuntungan sebelum cukai masing-masing sebanyak RM208 juta dan RM199 juta bagi suku tahun yang dikaji.

Berita Harian X