Khamis, 29 Ogos 2019 | 2:09pm

Untung sebelum cukai suku kedua Maybank meningkat

KUALA LUMPUR: Maybank, bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM2.65 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2019, meningkat 1.6 peratus berbanding tempoh sama sebelumnya.

Ia berikutan peningkatan 1.2 peratus dalam pendapatan operasi bersih serta pengurangan rosot nilai bersih sebanyak 19.6 peratus.

Keuntungan bersih bagi suku dikaji bagaimanapun susut sedikit sebanyak 0.9 peratus pada RM1.94 bilion berbanding RM1.96 bilion pada suku yang sama tahun lalu, kerana kumpulan tertakluk kepada kadar cukai berkesan yang lebih rendah dalam tempoh sama 2018.

Suku kedua juga menyaksikan momentum pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh berbanding dengan suku sebelumnya, dengan keuntungan sebelum cukai untuk suku kedua 2019 adalah 8.2 peratus lebih tinggi daripada suku pertama 2019.

Keuntungan bersih juga meningkat sebanyak 7.3 peratus, didorong oleh kenaikan 10.9 peratus pendapatan berasaskan fi bersih yang berpunca khususnya daripada pendapatan pelaburan dan perdagangan yang lebih baik.

Bagi setengah tahun yang berakhir pada 30 Jun 2019, pendapatan operasi bersih adalah satu peratus lebih tinggi pada RM11.75 bilion berikutan kenaikan satu peratus dalam pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM8.47 bilion di sebalik pertumbuhan 4.6 peratus dalam pinjaman kumpulan.

Sementara itu, pendapatan berasaskan fi bersih adalah 1.1 peratus lebih tinggi pada RM3.28 bilion, ekoran kumpulan mencatatkan pendapatan fi yang lebih tinggi, terutama daripada segmen insuransnya.

Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai susut sedikit sebanyak RM5.10 bilion berbanding RM5.17 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala keuntungan bersih berjumlah RM3.75 bilion berbanding RM3.83 bilion setahun sebelumnya.

Lembaga Pengarah Maybank mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 25 sen sesaham, dibayar sepenuhnya secara tunai.

Dividen interim mewakili pembayaran sebanyak 74.9 peratus daripada

keuntungan bersih semasa dan berjumlah RM2.81 bilion.

Berita Harian X