Khamis, 29 Ogos 2019 | 8:20pm
Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi. - Foto NSTP

Mohamed Sharil dilantik Pengerusi BDB

ALOR SETAR: Bina Darulaman Berhad (BDB) mengumumkan pelantikan Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa 1 September ini.

BDB berkata sebelum menyertai anak syarikat kerajaan negeri Kedah itu, Mohamed Sharil berpengalaman luas bekerja dalam sektor korporat.

Katanya, beliau kini berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lotus Cars UK dan Ahli Lembaga Pengarah PrivAsia Technology Berhad.

“Beliau dahulunya adalah seorang peguam bela dan peguamcara yang pernah menyertai firma guaman, Azman, Davidson & Co selain Zaid Ibrahim & Co, khususnya dalam pembinaan, pembangunan hartanah dan penswastaan. ​​

“Selepas itu, beliau pernah memegang jawatan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bermula 16 Oktober 2011 hingga 31 Disember 2014,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, BDB berkata bidang kepakaran utama Mohamed Sharil merangkumi penyusunan semula korporat, pemulihan, penggabungan dan pengambilalihan.

Katanya dengan kehadiran Mohamed Sharil, BDB yakin beliau dapat memimpin dan memacu Rancangan Pemulihan BDB.

“Bukan setakat dalam negara, Mohamed Sharil juga pernah menjadi Ahli Lembaga The Internet Corporation for Assigned Names and Numbers (ICANN) serta menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kerajaan (GAC) ICANN dari 2004 hingga 2007.

“Beliau mempunyai hubungan kerjasama rapat dengan Persatuan Internet (ISOC), Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Bank Dunia, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Telekomunikasi Asia Pasifik (APT) dan banyak lagi,” katanya.

Berita Harian X