Jumaat, 30 Ogos 2019 | 4:18pm

Untung bersih suku kedua MAHB meningkat

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2019, melonjak kepada RM160.08 juta berbanding RM86.12 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Perolehan meningkat kepada RM1.26 bilion berbanding RM1.15 bilion sebelumnya.

Bagi separuh pertama tahun ini, keuntungan bersihnya bagaimanapun merosot kepada RM309.66 juta berbanding RM530.72 juta tahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM2.51 bilion berbanding RM2.37 bilion sebelumnya.

“Operasi lapangan terbang mencatatkan pertumbuhan pendapatan 9.6 peratus kepada RM1.19 bilion, manakala operasi bukan lapangan terbang meningkat 2.7 peratus atau RM69.1 juta, berikutan hasil yang lebih tinggi daripada projek dan perniagaan penyelenggaraan.

“Keseluruhannya, operasi Malaysia merekodkan pendapatan sebanyak RM904.3 juta dengan pertumbuhan 10.2 peratus manakala operasi Turki dan Qatar mencatat pertumbuhan pendapatan masing-msing sebanyak 6.1 peratus kepada RM318.2 juta dan 12.5 peratus kepada RM38.7 juta,” katanya.

Keputusan positif ini disokong oleh pertumbuhan dalam operasi lapangan terbang, susulan pertumbuhan yang berterusan dalam pergerakan penumpang dan pesawat, katanya.

Untuk masa hadapan, MAHB berkata ia kekal positif terhadap sasaran pertumbuhannya untuk 2019.

“Unjuran kapasiti tempat duduk penerbangan pada masa depan kekal positif, terutama bagi sektor domestik. Pembetulan dan penyepaduan lalu lintas domestik dijangka berterusan, manakala sektor antarabangsa mungkin terus meningkat,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X