Rabu, 4 September 2019 | 5:20pm
SME Bank

Penarafan AAA daripada MARC perkukuh kedudukan SME Bank

KUALA LUMPUR: SME Bank baru-baru ini menerima penarafan AAA dengan tinjauan stabil daripada Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC).

Pengiktirafan ini mengesahkan peranan yang dimainkan oleh SME Bank

dalam memupuk dan membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seiring dengan pemerkasaan agenda sosio-ekonomi kerajaan yang sejajar dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030).

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail, berkata dengan jumlah sumbangan pembiayaan Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) sebanyak 44.2 peratus kepada PKS, ia telah mengukuhkan kedudukan SME Bank sebagai peserta utama dalam pasaran.

“Kami terus menjalankan pelbagai program untuk merapatkan jurang usahawan PKS yang tidak mendapat pembiayaan atau kurang mendapat

pembiayaan.

“Strategi ini telah dapat memastikan usahawan yang layak tidak

terlepas untuk mendapat sokongan bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Sehingga kini, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai RM30 bilion kepada lebih 17,000 PKS,” katanya.

Aria menambah, kerajaan menaruh harapan yang tinggi terhadap masa hadapan PKS di Malaysia.

“Ini dapat dilihat dalam DKN 2030, di mana banyak inisiatif akan dilaksanakan bagi memperkasakan PKS terutama golongan B40.

“Menjadikan ini sebagai aspirasi kami, ditambah dengan sokongan penuh daripada kerajaan, SME Bank akan terus meningkatkan dan memainkan peranan yang ‘menjangkaui pembiayaan’ untuk PKS di seluruh negara,” katanya.

Secara keseluruhan, dengan penarafan AAA yang diterima daripada MARC dan hala tuju baharu yang dijalankan oleh kepimpinan SME Bank, masa hadapan PKS Malaysia dijangka menjadi sangat positif di dalam usaha untuk menjadi penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negara.

SME Bank adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED).

Berita Harian X