Jumaat, 6 September 2019 | 4:31pm
SUPERMAX Corporation Bhd

Peluang pengeluar sarung tangan getah kuasai AS, Eropah

KUALA LUMPUR: Konflik perdagangan yang berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan China membuka peluang kepada pengeluar produk sarung tangan getah negara dalam menguasai pasaran AS serta Eropah.

Presiden dan Pengarah Urusan Supermax Corporation Bhd (Supermax), Datuk Seri Stanley Thai, berkata pengeluar produk sarung tangan termasuk syarikatnya sendiri mendapat manfaat daripada peningkatan tarif yang dikenakan AS terhadap barangan dari China.

Beliau berkata, produk sarung tangan getah perubatan dari Malaysia bakal menguasai pasaran AS dalam beberapa tahun akan datang.

“AS ketika ini mengenakan tarif 10 peratus ke atas sarung tangan perubatan yang dibuat di China mulai 1 September lalu.

“Perang perdagangan ini sebenarnya menganggu rantaian bekalan global terutama syarikat dari China, namun bagi syarikat dari negara lain khususnya Malaysia, perkara ini memberikan kelebihan dan baik untuk pasaran eksport.

“Lantaran itu, Supermax menjangkakan nilai eksport akan meningkat sebanyak 10 peratus pada tahun kewangan 2020 didorong oleh konflik perang perdagangan itu. Eksport Supmermax ke AS ketika ini sekitar 30 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media prestasi Supermax di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Thai berkata, pasaran sarung tangan industri Supermax pula ketika ini menyumbang sekitar 10 peratus daripada jumlah eksportnya, dan ia dijangka turut meningkat.

Ini kerana, katanya pasaran sarung tangan industri dari China turut menerima kesan akibat pelaksanaan tarif sebanyak 25 peratus oleh AS pada Mei.

Katanya, dari satu sudut, perang perdagangan ini banyak menimbulkan ketidaktentuan pasaran tetapi dari sudut yang lain, mewujudkan peluang bagi pengeluar Malaysia meningkatkan kehadiran pasaran mereka di AS.

Thai berkata, Supermax juga menyasarkan peningkatan pengeluaran kepada 27 bilion tan metrik pada Disember 2020 daripada 21.75 bilion tan metrik ketika ini dan ia dijangka terus meningkat kepada 44.1 bilion tan metrik menjelang 2024.

Supermax, katanya turut memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM1.1 bilion untuk tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

“Tiga kemudahan baharu syarikat akan disiapkan bermula menjelang suku pertama 2020, suku kedua 2021 dan suku ketiga 2022,” katanya.

Bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2019, keuntungan bersih Supermax Corp meningkat kepada RM123.75 juta daripada RM106.66 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lalu, sementara pendapatan meningkat kepada RM1.49 bilion berbanding RM1.30 bilion tahun sebelumnya.

Berita Harian X