Jumaat, 6 September 2019 | 4:55pm
PENGERUSI Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid. NSTP/Salhani Ibrahim

Axiata, Telenor tamat rundingan penggabungan

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd dan Telenor ASA secara bersama bersetuju menamatkan rundingan menggabungkan operasi telekomunikasi Asia mereka di bawah entiti global yang digabungkan (MergedCo), yang sepatutnya membentuk juara global baharu.

Kedua-dua syarikat itu bersetuju menamatkan perbincangan berikutan beberapa kerumitan berkaitan cadangan penggabungan itu.

Namun begitu, kedua-dua pihak masih mengakui rasional strategik yang kukuh membabitkan cadangan penggabungan itu dan tidak menolak kemungkinan urus niaga lain pada masa akan datang tanpa mengulas lanjut mengenainya.

Pengerusi Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid, berkata Lembaga Pengarah mengakui rasional strategik yang kukuh mengenai cadangan penggabungan itu, dan kedua-dua pihak sama-sama menyedari tahap kerumitan cadangan penggabungan yang merentasi sembilan negara dan 14 entiti utama.

“Tanpa menghiraukan sinergi yang diungkapkan oleh penggabungan itu, kami yakin bahawa penamatan transaksi yang dicadangkan ini tidak menjejaskan kumpulan dalam mencapai cita-cita ‘Juara Digital’.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah Axiata, kami berterima kasih atas sokongan Kerajaan Malaysia, pelabur dan semua pekerja kami semasa proses ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, berkata Axiata terus menjadi kisah pertumbuhan dan kekal sebagai salah satu pengendali mudah alih terbesar serantau.

Beliau berkata, hari ini, syarikat telekomunikasi itu beroperasi pada kedudukan yang kukuh, dengan semua lapan syarikat operasi (OpCos) mencatatkan prestasi yang baik dan ia optimis dalam berhati-hati bagi mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 2019.

“Melangkah ke hadapan, kami transformasi ke dalam syarikat teknologi digital yang mana boleh dijelaskan sebagai industri global yang semakin konvergens, meluas melangkaui mudah alih dan pengguna kepada jalur lebar rumah, enterpris, digital dan TowerCo.

“Kami yakin dapat menuai faedah pelaburan kami dalam bidang pertumbuhan baharu termasuk Enterpris, Rumah, Digital VAS, Perniagaan Digital dan Infrastruktur dalam beberapa tahun akan datang.

“Kami akan terus giat meneroka potensi kemungkinan penggabungan dan mengoptimumkan portfolio untuk mengekstrak sinergi, memaksimumkan kecekapan dan membiayai bidang pertumbuhan masa depan,” katanya.

Axiata berkata, penamatan cadangan transaksi itu tidak akan memberi kesan kepada kumpulan dalam keupayaannya untuk mencapai aspirasi Juara Digital menjelang 2022.

Sementara itu, Telenor dalam kenyataannya berkata kedua-dua pihak sudah mengusahakan kajian daya maju pelaburan dan memuktamadkan perjanjian serta perjanjian urus niaga diselesaikan pada suku ketiga 2019.

“Disebabkan kerumitan dalam cadangan urus niaga, semua pihak bersetuju secara bersama menamatkan rundingan,” katanya.

Telenor adalah syarikat 53.97 peratus milik Kerajaan Norway.

Berita Harian X