Rabu, 11 September 2019 | 1:43pm

Saham Metronic aktif didagangkan

KUALA LUMPUR: Metronic Global Bhd muncul kaunter paling aktif didagangkan pagi ini selepas memperoleh kontrak RM18.7 juta untuk membekalkan sistem audio visual dan teknologi maklumat (AV-ICT) projek Merdeka PNB 118.

Kontrak itu dimenangi menerusi anak syarikat milik penuhnya Metronic Engineering Sdn Bhd (MESB).

Pada 12.30 tengah hari, saham Metronic Globa tidak berubah pada tujuh sen dengan 89.78 juta saham bertukar tangan.

Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Brian Hoo Wai Keong, berkata Metronic juga sedang memuktamadkan tender untuk beberapa projek kejuruteraan besar yang berpotensi bernilai sehingga RM300 juta di Malaysia dan di seluruh rantau ini.

Beliau berkata, syarikat itu juga berada pada landasan untuk memenuhi matlamat projek penguasaan pasaran pintar AS$1 bilion di seluruh Malaysia, Eropah, Amerika Syarikat, Timur Tengah dan Asia Tenggara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Merdeka PNB 118 dengan nilai projek RM5 bilion, yang sebelum ini dinamakan KL 118, akan menjadi bangunan keempat tertinggi di dunia apabila siap, dengan ketinggian seni bina sekurang-kurangnya 644 meter.

-- BERNAMA

Berita Harian X