Rabu, 11 September 2019 | 5:39pm

Sime Darby Motors edar 5 jenama kenderaan di Australia

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd (Sime Darby) menerusi anak syarikatnya, Sime Darby Motors (Australia) Pty Ltd mengambil alih tiga perniagaan Trivett, cabang perniagaan runcit automotif Inchcape Australia Ltd pada harga A$112 juta (RM321 juta).

Langkah itu membolehkan Sime Darby memperoleh aset perniagaan dan hartanah bagi tiga wakil pengedar kenderaan jenama BMW, MINI, Volkswagen (VW), Jaguar dan Land Rover di pinggir bandar Parramatta, Sydney.

Lanjutan daripada urus niaga itu, jenama VW, Jaguar dan Land Rover kini termasuk dalam senarai perniagaan kenderaan Sime Darby di Australia, yang mana dikendalikan Sime Darby Motors.

Pengarah Urusan Sime Darby Motors Australia dan New Zealand, Patrick McKenna, berkata jenama itu juga selaras dengan semua lima jenama yang dipasarkan kumpulan itu di pasaran lain.

“Pelaburan yang dicadangkan ini sejajar dengan strategi Sime Darby Motors untuk berkembang melalui penggabungan dan pengambilalihan, yang mensasarkan segmen mewah dan super mewah, terutama di pasaran besar seperti Australia.

“Penambahan pengedar ini kepada operasi Porsche Parramatta kami yang sedia ada akan mengembangkan skala kami dalam perniagaan peruncitan mewah di salah satu lokasi terkenal di Sydney,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan pengumuman Sime Darby mengenai pembelian Trans-Tasman Gough Group, pengambilalihan ini katanya menunjukkan komitmen jangka panjang kumpulan dalam pelaburan di Australasia.

Pengambilalihan itu, katanya, akan dibiayai oleh pinjaman bank dan tertakluk kepada kelulusan Lembaga Kajian Pelaburan Asing Australia. Ia dijangka selesai pada awal Disember ini.

Berita Harian X