Sabtu, 14 September 2019 | 3:38pm
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail (kanan), Ketua Pegawai Komersil PLUS, Christine Liew (dua dari kiri) dan Ketua Pemasaran PLUS, Rosdi Effendi Mohammed Effendi, bersama tiga anugerah yang dimenangi pada Majlis Anugerah Mob-Ex di Singapura, baru-baru ini.

PLUS rangkul anugerah antarabangsa

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) muncul sebagai syarikat lebuhraya pertama memenangi Anugerah Mob-Ex, anugerah pemasaran perdana Asia Tenggara, menerusi kempen cuti persekolahan akhir tahun 2018 “Senyuman Sepanjang Jalan” di aplikasi mudah alihnya.

Dianjurkan oleh Marketing Magazine di Singapura baru-baru ini, anugerah itu bagi mengiktiraf dan meraikan usaha pemasaran mudah alih yang paling berkesan, inovatif dan kreatif.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata ia kali pertama syarikat itu mengemukakan permohonan bagi anugerah pemasaran dan kemenangan itu adalah petanda baik akan kehadiran jenama syarikat itu.

“Memenangi anugerah, khususnya di peringkat serantau amat penting bagi PLUS, dalam usaha kami meletakkan penanda aras kami berbanding jenama lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PLUS turut membawa pulang tiga lagi anugerah iaitu kategori Aplikasi Terbaik bagi Perkhidmatan Kerajaan (Anugerah Perak), kategori Penggunaan Terbaik Pendapat Pemimpin Utama (Anugerah Gangsa) dan kategori Aplikasi Terbaik bagi Hospitaliti dan Pelancongan (Anugerah Gangsa).

Anugerah itu mengiktiraf keseluruhan program transformasi digital PLUS dalam menjaga pelanggan di setiap langkah sepanjang perjalanan mereka di PLUS.

Sebanyak 81 pemenang daripada 27 kategori memenangi anugerah berkenaan.

Antara syarikat Malaysia lain yang mendapat pengiktirafan ialah Malaysia Digital Economy Corporation dan XL Axiata (Anugerah Penggunaan Terbaik KOL).

Berita Harian X