Selasa, 17 September 2019 | 4:10pm

Delima Oil sasar hasil perkhidmatan makanan meningkat

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh FGV Holdings Bhd, Delima Oil Products Sdn Bhd (Delima Oil) menyasar untuk menggandakan pendapatan bulanan dalam perkhidmatan makanan dalam tempoh setahun akan datang.

Ketua Eksekutif Delima Oil, Shammim Azad Kamruzaman, berkata pada masa ini perniagaan perkhidmatan makanan syarikat berkenaan mencatat pendapatan sebanyak RM3 juta setiap bulan.

Katanya, sasaran itu dibuat susulan pemeteraian perjanjian pengedaran dengan DKSH (Malaysia) Sdn Bhd (DKSH) untuk memperluaskan pengedaran produk hiliran FGV ke dalam sektor Hotel/Restoran/Kafe (HoReCa).

“Kami melantik DKSH berikutan kepakaran dan kekuatan yang mereka miliki dalam pengkhususan membabitkan rantaian bekalan. Pada masa ini, Delima Oil mengkhusus dalam bidang peruncitan dan kami mahu meneroka peluang yang ada dalam segmen perkhidmatan makanan.

“Justeru, kami melantik DKSH untuk membantu dan walaupun sudah mempunyai operasi dalam HoReCa, namun jangkauan adalah terhad.

“Berbeza dengan DKSH, mereka mempunyai 4,000 cawangan perkhidmatan makanan dalam portfolio mereka dan menerusi perjanjian ini, kami mahu memanfaatkan rangkaian yang mereka ada,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian perjanjian berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Ketua Eksekutif FGV, Datuk Haris Fadzilah; Ketua Operasi Sektor Perladangan FGV, Syed Mahdhar Syed Hussain dan Naib Presiden FMCG Asia Tenggara DKSH, Patrick Stillhart.

Delima Oil menghasilkan jenama terkemuka dalam sektor Barangan Pengguna Bergerak Pantas seperti SAJI, SERI PELANGI dan ADELA.

Sementara itu, Haris Fadzilah berkata kerjasama itu adalah sebahagian daripada rancangan strategik FGV untuk mengembangkan perniagaan hilirannya.

“Terdapat permintaan yang besar untuk bahan halal dan berkualiti tinggi dalam sektor HoReCa. Kami berharap dapat memanfaatkan permintaan dalam sektor ini kerana pengendali perkhimatan makanan adalah pelanggan yang menarik kerana mereka memesan dalam kuantiti yang besar secara berulang.

“DKSH juga mempunyai rangkaian pengedaran yang luas dan cekap yang dapat membina dan meletakkan Delima Oil sebagai pemain dominan bagi minyak dan lemak boleh dimakan untuk pasaran domestik dan seterusnya pasaran antarabangsa,” katanya.

Berita Harian X