Selasa, 17 September 2019 | 6:10pm
AXIATA Group Bhd.

Axiata tumpu rancangan penggabungan lain

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd mengekalkan perancangan penggabungan sebagai strategi utamanya walaupun membatalkan rancangan membentuk gergasi mudah alih Asia bersama Telenor ASA baru-baru ini.

Pengendali telekomunikasi dan perkhidmatan tanpa wayar terbesar di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan kepada lebih 300 juta orang dari India ke Kemboja itu, menjangkakan penggabungan berlaku untuk operasi Indonesia dan Malaysia dalam tempoh tiga hingga lima tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, berkata penggabungan adalah kunci kepada masa depan Axiata dalam jangka sederhana memandangkan cabaran dalam industri ketika ini.

“Pembatalan penggabungan itu dengan Telenor tidak menghalang kami daripada melihat kemungkinan lain,” katanya dalam satu temubual dengan Bloomberg.

Baru-baru ini, Axiata mengakhiri perbincangan dengan Telenor bagi menggabungkan operasi Asia mereka untuk mewujudkan sebuah syarikat dengan jualan AS$13 bilion, hanya seminggu selepas mengatakan perjanjian itu berjalan lancar.

Syarikat telekomunikasi beralih kepada penggabungan dan pengambilalihan untuk menangkis persaingan dan mengumpulkan skala yang cukup untuk melaksanakan teknologi baharu.

Urus niaga di Asia Tenggara dalam sektor itu meningkat dua kali ganda dari setahun lalu kepada AS$2.7 bilion setakat tahun ini, menurut data yang dikumpulkan oleh Bloomberg.

Jamaludin berkata, Axiata menerima tawaran untuk anak syarikatnya, edotco Group Sdn Bhd, syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi bersepadu bernilai AS$3 bilion.

Kumpulan itu, katanya bertanggungjawab untuk menimbangkan semua tawaran dan akan meneroka pilihan untuk edotco termasuk menghidupkan semula pelan penyenaraian, dengan keputusan dibuat menjelang akhir tahun ini.

Axiata turut menerima pertanyaan tidak rasmi daripada beberapa pelabur bagi aset-aset lain, katanya, namun enggan mengakui konglomerat Hong Kong yang disokong oleh hartawan Victor Li, CK Hutchison Holdings Ltd menunjukkan minat untuk menggabungkan operasi Indonesia firma itu.

Walaupun penggabungan dibatalkan baru-baru ini, saham Axiata telah mengatasi penanda aras untuk menokok 7.4 peratus pada 2019, berbanding dengan penurunan 5.3 peratus untuk indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI.

Kumpulan itu dijangka mencatatkan pendapatan bersih RM1.2 bilion untuk tahun kewangan ini, iaitu pemulihan daripada kerugian RM5 bilion pada 2018, menurut anggaran purata oleh penganalisis yang ditinjau oleh Bloomberg.

Walaupun ia akan terus menumpukan kepada kecekapan operasi, Jamaludin berkata Axiata percaya keuntungan dan wang tunai tidak mencukupi kerana perjalanan industri yang perlahan.

“Selama tiga tahun yang lalu, kami telah berbincang dengan pihak di kedua-dua negara," katanya merujuk kepada Malaysia dan Indonesia.

“Salah satunya hampir menghasilkan penggabungan dengan Telenor,” katanya.

-Bloomberg

Berita Harian X