Khamis, 19 September 2019 | 6:03pm

Fitch kekal penarafan PETRONAS pada A-, prospek stabil

KUALA LUMPUR: Firma penarafan kredit antarabangsa, Fitch Ratings mengekalkan penarafan ingkar penerbit (IDR) mata wang asing dan tempatan jangka panjang PETRONAS pada 'A-' dengan prospek stabil.

Agensi penarafan itu turut mengesahkan mata wang asing jangka pendek pada 'F1' dan penarafan tidak bercagar mata wang asingnya pada A-.

“Syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan itu boleh memberi pengaruh penting terhadap dasar operasi dan kewangan.

“Profil Kredit ‘Standalone’ PETRONAS pada AA- adalah lebih kukuh daripada pemiliknya, mencerminkan kedudukan kewangan, operasi minyak dan gas bersepadu berskala besarnya yang kukuh,” kata agensi itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Fitch berkata, profil perniagaan PETRONAS yang kukuh mencerminkan kedudukannya sebagai peneraju pengeluar minyak dan gas bersepadu sepenuhnya di peringkat global.

“Ia mempunyai pelbagai operasi bagi perniagaan bahan api termasuk minyak mentah dan gas asli, menerusi geografi dan garis perniagaan (penerokaan dan pengeluaran, LNG dan penapisan hiliran dan petrokimia).

“PETRONAS juga membina aset pengeluaran minyak mentah dan gas di Asia Pasifik, Asia Tengah, Timur Tengah, Afrika dan Kanada sejak dua dekad lalu yang menyokong kedudukannya sebagai salah satu daripada pembekal LNG global terkemuka,” katanya.

PETRONAS menghasilkan kira-kira 1.69 juta tong minyak sehari pada 2018 berbanding 1.76 tong sehari pada 2017.

Sementara itu, Fitch menjangkakan PETRONAS mengekalkan kedudukan tunai bersihnya dengan baki tunai RM171.8 bilion pada akhir Mac 2019 selepas membayar RM12 bilion dividen kepada kerajaan.

“Kami menganggarkan dividen PETRONAS kekal antara RM26 bilion hingga RM28 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang, tertakluk kepada harga minyak mentah,” kata Fitch.

Menyentuh mengenai perbelanjaan modal (capex), Fitch menjangkakan PETRONAS akan mengekalkan modal pelaburannya sekitar RM50 bilion setahun dalam jangka sederhana, didorong oleh pelaburan huluan.

“Syarikat menjangkakan pelaburan huluan sebanyak RM167.6 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang. Pelaburan ini penting bagi syarikat untuk menampan penurunan pengeluaran di pelantar minyak dan gas domestiknya dan memacu pertumbuhan di luar negara,” kata agensi itu.

Sepanjang 2018, PETRONAS membelanjakan RM27.3 bilion untuk pelaburan huluan, dengan 69 peratus daripadanya digunakan di luar negara.

Berita Harian X