Jumaat, 20 September 2019 | 2:52pm

PETRONAS jangka dividen lebih rendah tahun depan

KUALA LUMPUR: PETRONAS menjangkakan membayar dividen yang lebih rendah pada tahun depan berbanding RM54 bilion yang disalurkan kepada kerajaan tahun ini.

Daripada keseluruhan dividen RM54 bilion itu, sebanyak RM24 bilion adalah dividen normal, manakala baki RM30 bilion lagi adalah dividen khas.

Dividen khas RM30 bilion itu diumumkan PETRONAS pada November tahun lalu sebagai inisiatif membantu mengukuhkan Belanjawan 2019 kerajaan yang ketika itu berdepan keperluan untuk menyelesaikan tunggakan pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata syarikat minyak dan gas nasional itu tidak dapat memperincikannya secara lanjut agar tidak mendahului kerajaan dalam dividen dan peruntukan Belanjawan 2020 kelak.

“Sudah tentu, jika dilihat pada dividen PETRONAS akan lebih rendah pada tahun depan berbanding tahun ini,” katanya pada sidang media pengumuman prestasi separuh tahun pertama 2019 di sini, hari ini.

Bagi tempoh separuh pertama 2019, PETRONAS mencatatkan peningkatan pendapatan RM121.1 bilion, kenaikan RM3.9 bilion berbanding RM117.2 bilion yang dicatatkan semasa tempoh sama tahun lalu.

PETRONAS mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan sebanyak sembilan peratus kepada RM28.9 bilion bagi tempoh itu, berbanding RM26.6 bilion pada separuh tahun pertama 2018.

Mengulas lanjut, Wan Zulkiflee, berkata suku pertama 2019 menyaksikan ketidaktentuan harga minyak yang besar bagi sektor minyak dan gas (O&G), ketegangan geopolitik, perlindungan dagangan dan tekanan kelembapan ekonomi yang berlaku lebih cepat berbanding unjuran.

Justeru, katanya, pencapaian prestasi kewangan itu dianggap boleh membanggakan hasil fokus berterusan kumpulan dalam memastikan kecemerlangan perniagaan, operasi dan komersial, serta usaha terbaik memaksimumkan penjanaan tunai.

“Peningkatan pendapatan kumpulan bagi tempoh ini disumbangkan jumlah jualan produk petroleum dan gas asli cecair (LNG) yang tinggi, kelemahan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Sebahagiannya ditimbal balas dengan purata harga yang lebih rendah bagi petroleum dan produk petrokimia sepanjang tempoh itu.

“Bagi tahun depan, PETRONAS akan merangka perbelajaan modalnya berdasarkan harga minyak pertengahan pada AS$50,” katanya.

Berita Harian X