Jumaat, 20 September 2019 | 4:00pm
SESI penerbangan media dari Kuala Lumpur ke Kuching yang menggunakan perkhidmatan WiFi AirAsia yang dipertingkat dan dikuasakan oleh ROKKI. NSTP/E-mel
SESI penerbangan media dari Kuala Lumpur ke Kuching yang menggunakan perkhidmatan WiFi AirAsia yang dipertingkat dan dikuasakan oleh ROKKI. NSTP/E-mel

AirAsia Malaysia sedia kemudahan jalur lebar di semua pesawat

KUCHING: AirAsia Malaysia komited untuk memperluaskan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tingginya, GX Aviation, di semua 98 pesawat kendaliannya menjelang tahun depan.

Ia dalam usaha syarikat penerbangan itu menaik taraf mutu perkhidmatan pelanggan.

GX Aviation adalah penyelesaian jalur lebar dalam penerbangan pertama di dunia dengan liputan global berkelajuan tinggi dan disediakan oleh pengendali tunggal, Inmarsat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat, berkata ketika ini, enam pesawat yang dikendalikan AirAsia Malaysia dilengkapi dengan platform Ka-band berkelajuan tinggi yang dikuasakan oleh ROKKI.

“Sebagai perintis perkhidmatan wifi dalam penerbangan kos rendah di rantau ini, kami sentiasa mencari jalan untuk memberi pengalaman digital kepada tetamu.

“Menjelang tahun depan, kami komited untuk mengembangkan perkhidmatan ini ke semua rangkaian pesawat A320 dan A330 AirAsia Malaysia,” katanya pada sidang media selepas penerbangan bersama kumpulan media dari Kuala Lumpur ke sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif ROKKI Sdn Bhd, Sargunan Seenivasan dan Naib Presiden Rantau Asia Pasifik, Unit Perniagaan Udara Inmarsat, Chris Rogerson.

Mengulas mengenai kadar penembusan pengguna wifi di dalam pesawat, Sargunan berkata, ketika ini setiap penerbangan merekodkan antara 25 peratus hingga 30 peratus pengguna.

“Kita jangka dengan penyambungan wifi berkelajuan tinggi, kadar pengguna wifi di dalam pesawat akan terus berkembang melebihi 40 peratus menjelang tahun depan,” katanya.

ROKKI, peneraju penyedia hiburan, e-dagang dan penyelesaian penyambungan dalam penerbangan telah merevolusikan pengalaman pengembara, membolehkan jutaan penumpang kekal terhubung dengan peranti mudah alih mereka ketika dalam penerbangan.

Ka-band, yang dibangunkan oleh Inmarsat menawarkan pengalaman hiburan dan penyambungan yang dipertingkatkan melangkaui jalur lebar asas, menyokong video secara langsung dan penstriman muzik.

Bagi meraikan pengenalan perkhidmatan terbaharu ini, AirAsia menawarkan tetamu yang melakukan penerbangan dalam pesawat dilengkapi GX-Aviation dengan percubaan 10MB percuma sepanjang bulan ini.

Selain itu, sebarang penambahan, pelanggan boleh melanggan mana-mana pelan internet bermula dengan 10MB hingga 200MB antara RM9 hingga RM58.

Berita Harian X