Isnin, 23 September 2019 | 9:53pm
Pengarah Kajian dan Pembangunan Spritzer, Dr Chuah Chaw Teo. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Pengarah Kajian dan Pembangunan Spritzer, Dr Chuah Chaw Teo. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Spritzer labur RM45 juta bangunkan gudang pintar

KUALA LUMPUR: Spritzer Bhd (Spritzer), pengeluar air minuman terkemuka melabur lebih RM45 juta untuk membangunkan gudang automatik dengan ciri pintar di Taiping, Perak.

Pengarah Kajian dan Pembangunan Spritzer, Dr Chuah Chaw Teo, berkata gudang dengan ciri bangunan hijau itu dijangka mula beroperasi awal tahun depan dan sejajar dengan inisiatif syarikat dalam memastikan kelestarian alam sekitar.

“Gudang ini dibina di tapak sedia ada di Taiping, bernilai lebih RM45 juta dan akan menampilkan peralatan termaju, sistem hubungan pintar dan memanfaatkan Internet Kebendaan (IoT) bagi memacu kecekapan yang lebih tinggi dalam operasi kami,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Chaw Teo berkata, sebagai usaha memelihara sumber alam, Spritzer memperkenalkan produk air mineral semula jadi terbaharunya, ACILIS, yang dijual dalam botol berasaskan tumbuhan tidak toksik dan boleh urai pertama di Malaysia.

“Usaha memelihara alam sekitar bukan sahaja melindungi sumber dan bekalan air tetapi merangkumi amalan yang lebih mampan dengan menggabungkan beberapa inisiatif ini ke dalam kitaran hayat produk kita.

“Botol ini disediakan dengan ciri khas ‘pusing dan ubah’, menjadikan ia mudah dilipat, seterusnya menjimatkan sehingga 57 peratus runag dalam tong kitar semula,” katanya.

Katanya, 30 peratus daripada bahan plastik ini diperbuat daripada serat antaranya tebu dan jagung.

“Pengilangan botol ini juga menghasilkan kurang pelepasan karbon dioksida, manakala botol pula 100 peratus boleh dikitar semula,” katanya.

Mengulas perkembangan berkaitan, Chaw Teo berkata, Spritzer turut menganjurkan pameran bergerak bertajuk ‘30 tahun kebaikan semulajadi’ bagi meningkatkan pengetahuan rakyat di negara ini berhubung usaha syarikat terhadap penjagaan alam sekitar.

Program berkenaan dilaksanakan sempena sambutan ulang tahun ke-30 syarikat itu pada tahun ini.

Katanya, pemeliharaan alam sekitar sentiasa menjadi teras syarikat sejak ia mula beroperasi.

“Kami melihat pencemaran alam sekitar sebagai isu serius kerana impaknya terhadap kualiti air serta kerosakan kepada sumber air yang sudah sedia terhad di negara ini.

“Sehubungan itu, Spritzer mengambil inisiatif untuk melabur dan membeli tanah seluas 132 hektar yang dikelilingi hutan hujan tropika yang subur dan terletak jauh daripada pencemaran bagi mewujudkan zon selamat bagi sumber air kami.

“Langkah ini dapat melindungi integriti, kualiti, keselamatan dan ketulenan sumber air mineral semula jadi. Air mineral semula jadi syarikat tidak disentuh oleh tangan manusia malah ia dimasukkan terus daripada sumber ke dalam botol,” katanya.

Berita Harian X