Rabu, 25 September 2019 | 6:02pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz. - Arkib NSTP

CIMB sasar pembiayaan RM15 bilion kepada PKS

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd dalam landasan tepat untuk mencapai sasaran pembiayaan RM15 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sehingga tahun depan.

Ia berdasarkan jumlah pembiayaan RM3.9 bilion yang disalurkan kumpulan kepada segmen pelanggan tempatan itu bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata bagi tujuan itu, kumpulan mengumumkan sandaran perniagaan baharu bagi segmen PKS dalam menyediakan penyelesaian lengkap untuk pelanggan melangkaui perkhidmatan perbankan.

Katanya, sumbangan PKS kini lebih satu pertiga kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), justeru bank bertanggungjawab membantu mengembangkan lagi sektor itu bagi mencapai sasaran sumbangan 50 peratus menjelang 2030.

“Kami cuba mendalami permintaan pelanggan, kesukaran yang dihadapi mereka dan mencari jalan supaya menambah baik perjalanan mereka bersama CIMB.

“Sandaran perniagaan baharu ini memiliki tiga teras mewakili keperluan pelanggan PKS mendapatkan sokongan perbankan bukan hanya membabitkan pembiayaan, tetapi juga penyelesaian perniagaan menyeluruh bagi menyokong pertumbuhan mereka.

“Ia melangkaui pembiayaan, sokongan kami turut meliputi perkongsian pengetahuan dan kerjasama strategik supaya PKS, syarikat pemula dan usahawan dapat mengembangkan perniagaan mereka secara sistematik,” katanya dalam satu satu kenyataan, hari ini.

Sandaran perniagaan PKS kumpulan perbankan itu membabitkan tiga teras iaitu SME Transact, SME Financing dan SME Partners.

Bagi membantu pengembangan serantau PKS, CIMB mengadakan kerjasama dengan Axiata Digital Capital bagi menyediakan akses penyelesaian pembiayaan kepada 700,000 PKS di Malaysia dan Indonesia.

Berita Harian X