Khamis, 26 September 2019 | 3:58pm
PRESIDEN Kumpulan AirAsia (Redbeat Ventures) Aireen Omar (kanan) menerima anugerah Pemangkin Digital Tahunan untuk Malaysia di Anugerah IDC Digital Transformation (DXa) 2019.

AirAsia gondol Pemangkin Digital Tahunan IDC

KUALA LUMPUR: AirAsia merangkul anugerah Pemangkin Digital Tahunan untuk Malaysia di Anugerah IDC Digital Transformation (DXa) 2019.

Anugerah mengiktiraf syarikat-syarikat yang cemerlang di dalam projek melalui sinergi pengurusan IT dan perniagaan, serta pengeluaran produk dan perkhidmatan digital dalam jangka masa yang berterusan.

Syarikat penerbangan itu meraih anugerah tertinggi IDC DXa di atas kecemerlangannya menggunakan pelbagai teknologi inovatif untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang lebih peribadi dan mengoptimumkan pendapatan sampingan.

Selain itu ia meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan dan memacu transformasi kepimpinan, bakat serta infrastruktur untuk menyokong strategi digital baharu AirAsia.

Antara teknologi baharu berkenaan termasuklah pengkomputeran awan, pengoptimuman tambang melalui pembelajaran mesin, ‘chatbot’ yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan, ruang sembang menerusi aplikasi mudah alih serta teknologi pengecaman wajah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes pula memenangi anugerah DX Leader yang mengiktiraf peranan beliau sebagai pemacu visi transformasi digital serta evolusi syarikat penerbangan berkenaan kepada sebuah syarikat perjalanan dan gaya hidup digital.

Presiden Kumpulan AirAsia (Redbeat Ventures), Aireen Omar menerima kedua-dua anugerah tersebut bagi pihak AirAsia di majlis IDC Digital Transformation Summit 2019 di sini, hari ini.

Berita Harian X